MELAKA – Usahawan digital dinasihatkan supaya tidak menyalahgunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam usaha mengembangkan perniagaan, sebaliknya memastikan penggunaannya berlandaskan etika dan tadbir urus yang betul.
Naib Presiden Kanan (Hal Ehwal Korporat/ Pembangunan Industri Digital) Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC)
Datuk Ts. Fadzli Abdul Wahit berkata, kemajuan teknologi AI perlu dimanfaatkan untuk perniagaan dan masyarakat, bukannya perkara yang boleh mendatangkan kemudaratan.
“Memang banyak program yang akan melahirkan usahawan-usahawan yang berjaya, tetapi dalam ekosistem pembelajaran itu kita perlu menunjukkan kepakaran dari segi AI termasuk tadbir urus dan etika.
“Banyak orang boleh guna AI, tetapi kita tidak mahu orang salah gunakan AI. Mereka perlu profesional, jadi tadbir urus dengan etika itu adalah satu sudut AI yang kita kena ajar supaya jangan salah gunakan AI,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Jelajah Malaysia Digital (JMD) 2026 di Dewan Bistari Ayer Keroh, di sini hari ini yang disempurnakan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim.
Turut hadir Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Digital) Kementerian Digital, M. Ma Sivanesan
Menurut Fadzli, penggunaan AI dalam kalangan usahawan perlu disertai kesedaran terhadap standard dan peraturan platform digital bagi memastikan teknologi itu tidak dimanipulasi untuk menjual produk atau perkhidmatan yang tidak sewajarnya.
Katanya, MDEC turut bekerjasama dengan rakan strategik seperti TikTok bagi memastikan urusan perdagangan digital mematuhi standard ditetapkan.

“TikTok sebagai rakan kerjasama kami akan mengenal pasti kalau kita nak jual barang, ia mempunyai standard tertentu. Ia mesti ada cara tertentu dan tidak menyalahgunakan platform-platform yang sedia ada menjadikannya seperti gatekeeper,” katanya.
Sementara itu, Fadzli berkata, Jelajah Malaysia Digital 2026 mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk usahawan, pelajar, sekolah dan pekerja bebas.
Program itu memberi pendedahan kepada peserta mengenai teknologi terkini termasuk penggunaan AI dalam memperkasakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana selain membantu graduan meningkatkan kaedah pembelajaran. – MalaysiaGazette
















