Sebahagian AJK Bersatu Bahagian Sungai Petani.

KUALA LUMPUR – Seramai 23 Ahli Jawatankuasa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Sungai Petani serta 21 Ketua Cawangan meletakkan jawatan dalam parti itu berkuat kuasa serta merta.

Ketua Bersatu Bahagian Sungai Petani, Nik Fazli Nik Fathil berkata, keputusan itu dibuat setelah melalui pertimbangan yang mendalam serta mengambil kira keadaan semasa parti, suara akar umbi dan perkembangan politik yang berlaku sejak kebelakangan ini.

Nik Fazli Nik Fathil

Menurutnya, keputusan itu bukan dibuat secara terburu-buru, kerana kepentingan peribadi atau tekanan mana-mana pihak, sebaliknya lahir daripada satu pertimbangan prinsip serta rasa tanggungjawab dan perjuangan yang mereka dukung selama ini.

“Saya tidak boleh menafikan bahawa terdapat kekecewaan dan persoalan yang semakin besar di peringkat akar umbi terhadap hala tuju, pendekatan serta pengurusan parti pada masa ini.

“Sebagai pemimpin di peringkat bahagian, saya mempunyai tanggungjawab untuk mendengar suara ahli dan akar umbi.

“Apabila suara tersebut semakin kuat meminta perubahan, penilaian semula dan pembaharuan kepimpinan, suara itu tidak seharusnya dipandang ringan.

“Saya percaya sebuah parti yang mahu terus relevan tidak boleh hidup hanya dengan nostalgia kejayaan masa lalu.

“Parti perlu berani melakukan muhasabah, pembaharuan dan perubahan jika mahu kembali memperoleh keyakinan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Nik Fazli berkata, selain peletakan jawatan sebagai Ketua Bahagian Bersatu Sungai Petani, beliau turut melepaskan jawatan Bendahari Bersatu Negeri Kedah dan Timbalan Pengarah Pilihanraya Bersatu Negeri Kedah. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here