Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Amirudin Shari menyampaikan ucapan pergulungan pada Kongres Nasional Keadilan 2026 di Melaka International Trade Center (MITC), Ayer Keroh. Foto AIZAT ZAINAL, 16 OGOS 2026.

AYER KEROH – Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini berada dalam gelombang terakhir perjuangan reformasi yang dimulakan hampir tiga dekad lalu, kata Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari.

Menurut beliau, parti itu tidak lagi sekadar berperanan menentang arus, sebaliknya perlu terus membina arus perubahan dengan memastikan agenda reformasi, demokrasi, hak asasi dan keadilan menjadi asas dalam pembinaan negara.

Beliau berkata, selepas hampir 30 tahun perjuangan reformasi, PKR perlu menyedari bahawa negara kini berada pada fasa penting untuk memastikan perubahan yang diperjuangkan sejak 1998 terus dilaksanakan.

“Pada pagi ini saya mahu memberikan satu kesedaran. Kita berada dalam gelombang terakhir untuk meneruskan proses pembaharuan dan reformasi dalam negara,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional PKR 2026, hari ini.

Amirudin berkata, antara perubahan yang sedang berlaku termasuk usaha memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), yang disifatkan sebagai sebahagian daripada agenda reformasi yang diperjuangkan parti itu.

Bagaimanapun, katanya, cabaran PKR bukan hanya memastikan reformasi diteruskan, tetapi juga mempertahankan identiti parti sebagai wadah politik yang mampu menyatukan masyarakat pelbagai kaum.

“Kita menatap parti ini, orang Melayu, orang Cina, orang India, orang Kristian, orang muda, orang tua. Kita memperjuangkan keadilan untuk semua,” katanya.

Beliau berkata, PKR tidak boleh terperangkap dalam politik yang meletakkan kepentingan kaum tertentu sebagai asas perjuangan sehingga membina tembok yang menghalang perpaduan rakyat.

“Kalau kita bantu sekolah India, orang Melayu akan kata bagaimana pula dengan orang Melayu. Kalau kita umumkan sesuatu untuk orang Melayu, kaum lain pula akan bertanya.

“Kita tidak pentingkan percubaan kita untuk seimbang kerana kesedaran rakyat dan persaingan ini menuntut kita meruntuhkan tembok,” katanya.

Sehubungan itu, Amirudin menegaskan PKR perlu terus menjadi parti yang membawa politik penyatuan, bukan politik yang membina sempadan antara Melayu, Cina dan India, bagi memastikan perjuangan reformasi kekal relevan dan menjadi asas perubahan negara.

Beliau sebelum ini turut menegaskan agenda reformasi, pembangunan ekonomi dan pengukuhan parti menjadi antara fokus utama Kongres Nasional PKR 2026. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here