Perwakilan yang hadir pada Persidangan DAP 2026 di PICC, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 16 OGOS 2026.

KUALA LUMPUR – Seramai 14 perwakilan DAP dari seluruh negara yang mengambil bahagian dalam perbahasan usul hala tuju parti hari ini menggesa kepimpinan tertinggi, khususnya menteri-menteri DAP dalam Kabinet, supaya tidak keluar daripada Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal.

Perbahasan itu berlangsung ketika perwakilan membincangkan usul sama ada DAP perlu terus kekal atau menarik diri daripada kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Meskipun setiap perwakilan membawa penekanan berbeza mengikut keadaan negeri masing-masing, mesej utama yang disampaikan hampir sama iaitu DAP perlu kekal dalam kerajaan dan menggunakan kedudukan itu untuk membawa perubahan kepada rakyat.

Mereka berpandangan DAP masih mempunyai ruang untuk memperjuangkan reformasi, memperbaiki dasar serta memastikan kepentingan rakyat terus dibawa ke dalam proses pentadbiran kerajaan.

Bagaimanapun, sokongan untuk kekal itu bukan tanpa syarat apabila beberapa perwakilan menggesa kepimpinan parti supaya lebih tegas bersuara, mempercepat reformasi dan tidak terlalu berdiam diri terhadap isu yang menimbulkan keresahan rakyat.

Perwakilan Wilayah Persekutuan, Sangeet Deo, misalnya berkata, DAP perlu menggunakan tempoh berbaki untuk membina semula keyakinan rakyat dengan bersuara lebih lantang ketika masih berada dalam kerajaan.

Di Sarawak, perwakilan memberi amaran bahawa keluar kerajaan sekarang boleh menjadi ‘bunuh diri politik’, tetapi kekal tanpa sasaran reformasi yang jelas pula boleh menjadi ‘kematian politik’ yang perlahan.

Perwakilan Sabah pula mengingatkan keputusan 8-0 di negeri itu perlu dijadikan pengajaran, khususnya berkaitan tuntutan hak 40 peratus Sabah dan dasar Persekutuan yang memberi kesan kepada rakyat.

Sementara itu, perwakilan Perlis menuntut reformasi institusi dan agenda antirasuah dipercepatkan sebagai antara syarat penting untuk DAP terus mempertahankan penyertaannya dalam kerajaan.

Di Negeri Sembilan pula, perwakilan berhujah DAP perlu kekal kerana kedudukan dalam kerajaan memberikan parti akses kepada kuasa pentadbiran, peruntukan dan jentera kementerian untuk melaksanakan agenda rakyat.

Perwakilan Selangor pula mengingatkan bahawa tadbir urus baik sahaja tidak mencukupi untuk memenangi pilihan raya, justeru DAP perlu melakukan muhasabah dan menyusun semula strategi bagi menghadapi perubahan landskap pengundi.

Dari Kelantan, mesej yang dibawa ialah DAP perlu memperkukuh akar umbi serta membina imej sebagai parti untuk seluruh “bangsa Malaysia”, bukan hanya dilihat mewakili satu kaum.

Manakala perwakilan Perak menggesa parti supaya tidak berputus asa dengan kemerosotan sokongan, sebaliknya menggunakan baki tempoh lebih setahun untuk memperbaiki dasar dan mendapatkan semula keyakinan rakyat.

Secara keseluruhan, perbahasan 14 perwakilan itu menunjukkan kecenderungan kuat akar umbi untuk mempertahankan kedudukan DAP dalam Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal.

Namun, mereka turut menghantar mesej jelas kepada kepimpinan parti bahawa kekal dalam kerajaan bukan bermaksud berdiam diri atau menerima semua perkara tanpa kritikan.

Sebaliknya, DAP perlu kekal dengan suara yang lebih lantang, reformasi yang boleh diukur, pendirian yang jelas dan fokus kepada kepentingan rakyat dalam tempoh berbaki sebelum pilihan raya umum akan datang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here