Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook bersama Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo, Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming dan pemimpin-pemimpin tertinggi DAP pada Persidangan DAP 2026 di PICC, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 16 OGOS 2026.

PUTRAJAYA – DAP perlu kekal dalam kerajaan buat masa ini tetapi mesti menetapkan lima tuntutan reformasi yang jelas dan boleh diukur untuk dilaksanakan dalam tempoh setahun.

Wakil Sarawak, Soo Tien Ren berkata, keluar daripada kerajaan sekarang boleh menjadi ‘politik bunuh diri’, namun kekal tanpa sasaran yang jelas pula berisiko menjadi ‘kematian politik yang perlahan’ kepada DAP.

Menurutnya, parti perlu menjelaskan kepada rakyat mengapa ia masih berada dalam kerajaan dan apa hasil yang mahu dicapai sepanjang tempoh tersebut.

“Berundur sekarang adalah bunuh diri politik, tetapi kekal tanpa menjelaskan reformasi dan sasaran kepada rakyat adalah kematian politik yang perlahan,” katanya ketika membahaskan usul kedudukan DAP dalam kerajaan pada Persidangan DAP 2026 di sini hari ini.

Tien Ren berkata, kepercayaan sebahagian penyokong terhadap peranan DAP dalam kerajaan semakin terhakis apabila parti itu dilihat berdepan kesukaran menjelaskan pendiriannya terhadap dasar tidak popular, termasuk e-invois serta penyasaran subsidi diesel dan petrol.

Katanya, selepas kira-kira empat tahun pentadbiran, kerajaan dilihat lebih berani melaksanakan reformasi berkaitan kewangan dan subsidi berbanding pembaharuan yang menyentuh soal kuasa politik serta institusi.

“Rakyat melihat ketegasan terhadap orang ramai, tetapi kurang ketegasan terhadap pihak yang berkuasa,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, standard ketelusan dan akauntabiliti yang pernah dituntut DAP ketika menjadi pembangkang kini perlu turut diamalkan terhadap parti sendiri selepas menjadi sebahagian daripada kerajaan.

Katanya, adalah tidak memadai sekadar memberitahu ahli dan rakyat bahawa memorandum telah dikemukakan kepada Perdana Menteri tanpa menjelaskan kandungan tuntutan, tempoh pelaksanaan dan ukuran kejayaannya.

“Kita perlu beritahu rakyat apa yang kita minta secara spesifik, apakah garis masanya dan apakah definisi kejayaan,” tegas beliau.

Tien Ren mencadangkan DAP mengumumkan lima reformasi yang mahu dicapai dan menilai kemajuan tersebut dalam tempoh setahun.

Antara tuntutan itu, katanya, ialah Perdana Menteri melepaskan portfolio Menteri Kewangan, menyediakan peruntukan yang setara bagi setiap kawasan Parlimen tanpa mengira sama ada wakil rakyat berada dalam kerajaan atau pembangkang, serta memansuhkan Akta Hasutan.

Beliau turut mencadangkan penubuhan Ombudsman Malaysia sebagai saluran bebas untuk rakyat mencabar pentadbiran kerajaan, selain mengenakan subsidi diesel kepada semua kenderaan komersial dan meningkatkan semula peruntukan BUDI95 kepada RM300 setahun.

Menurutnya, kelima-lima reformasi tersebut tidak memerlukan pindaan Perlembagaan, sebaliknya hanya memerlukan kemahuan politik daripada kerajaan.

Beliau berkata, DAP perlu membuat penilaian terbuka selepas setahun untuk menentukan sama ada tuntutan berkenaan benar-benar mencapai kemajuan.

“Nilai kami setahun dari sekarang,” katanya, sambil menegaskan kegagalan melaksanakan reformasi tersebut perlu membawa kepada pertanggungjawaban yang jelas.

Menurutnya, jika kerajaan gagal memenuhi sasaran yang ditetapkan, DAP perlu bersedia mempertimbangkan langkah lebih tegas, termasuk kemungkinan meninggalkan kerajaan pimpinan Anwar.

Jelas beliau, pendekatan itu akan membolehkan DAP kekal dalam kerajaan buat masa ini tanpa mengorbankan prinsip serta kepercayaan penyokong.

Katanya lagi, keputusan untuk kekal tidak seharusnya menjadi cek kosong kepada kerajaan, sebaliknya perlu disertai sasaran, tempoh masa dan ukuran kejayaan yang boleh dinilai rakyat.

“DAP perlu membuktikan bahawa penyertaannya dalam kerajaan membawa perubahan yang nyata, bukan sekadar kedudukan dalam pentadbiran,” tegasnya lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here