KUALA LUMPUR – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersedia menyumbang kepakaran akademik dalam proses konsultasi bagi pembentukan One Higher Education Act, susulan cadangan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Akta 30) [AUKU].
Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Sufian Jusoh berkata, universiti menyambut baik komitmen Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk melaksanakan perundangan baharu yang lebih komprehensif dan berdaya hadapan.
“Kami bersedia menyumbang kepakaran akademik dan perundangan dalam proses konsultasi yang inklusif dan menyeluruh. UKM mahu menjadi pemangkin utama dalam perbincangan bersama pelbagai pihak berkepentingan termasuk kepimpinan IPT, ahli akademik, rakan industri, serta para mahasiswa.
“Penglibatan pelbagai pihak penting bagi memastikan kerangka perundangan yang dibangunkan dapat memenuhi keperluan semasa dan mengambil kira kepelbagaian institusi dalam sistem pendidikan tinggi negara,” katanya.
Cadangan One Higher Education Act merupakan antara agenda yang digariskan dalam Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 bagi mewujudkan kerangka perundangan Pendidikan tinggi yang lebih menyeluruh.
Menurut Prof. Sufian, beberapa aspek yang diketengahkan menerusi reformasi itu turut selari dengan Pelan Strategik Tekad 57 UKM 2026–2030, iaitu kompas hala tuju universiti dalam mempersiapkan Malaysia menuju 100 tahun kemerdekaan menjelang tahun 2057.
“Langkah reformasi perundangan ini diselaraskan dengan Pelan Strategik Tekad 57 UKM terutama sekali dalam usaha memperkukuh autonomi institusi, fleksibiliti tatakelola, pemerkasaan kebebasan akademik yang beretika, serta penyertaan aktif kepimpinan mahasiswa dalam ekosistem universiti.
“UKM bertindak secara proaktif untuk memastikan transisi perundangan ini menjadi pemangkin pembinaan modal insan berasaskan ilmu, nilai, dan inovasi.
“Kerangka baharu ini akan memacu keupayaan universiti dalam menangani cabaran masa hadapan serta melonjakkan pendidikan tinggi Malaysia ke mercu kejayaan antarabangsa,” katanya.
Tambahnya, pengurusan tertinggi dan seluruh warga akademik UKM yakin integrasi antara pembentukan One Higher Education Act dengan aspirasi Tekad 57 bakal memantapkan autonomi institusi tanpa membelakangkan akauntabiliti, tadbir urus terbaik dan kecemerlangan penyelidikan berimpak tinggi yang kompetitif di peringkat global. – MalaysiaGazette
















