Zulkifli bersama peserta SUKPES 2026 di Dewan Terbuka UTHM, Batu Pahat hari ini.

BATU PAHAT – Jabatan Agama Islam menyerahkan sepenuhnya kes seperti percubaan melakukan persetubuhan haram di bilik pengurusan jenazah sebuah masjid di Bukit Piatu, Melaka, baru-baru ini kepada pihak mahkamah untuk penyelesaiannya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan berkata, sebarang keputusan terpulang kepada kebijaksanaan pihak mahkamah untuk memutuskannya.

Susulan itu, beliau menasihatkan umat Islam supaya sentiasa menjaga adab dan tidak melakukan perkara yang bertentangan dengan Islam terutama di kawasan masjid atau surau.

Tegasnya, mereka juga diingatkan untuk sentiasa menjaga akhlak dan mematuhi undang-undang syariah.

“Kami di peringkat Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama ingin memberikan nasihat kepada semua patuhi undang-undang syariah, jaga akhlak, jaga adab dan ingatlah apa yang kita lakukan walaupun apa pun akan dilihat oleh Allah SWT.

“Kita tak dapat lari. Semua kesalahan apa yang kita lakukan akan dihisab oleh Allah SWT. Jadi kepada semua jagalah adab, jagalah akhlak dan juga patuh lah undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa menghadiri Sukan Peguam Syarie Malaysia (SUKPES) 2026 di Dewan Terbuka, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di sini hari ini.

Menurutnya, pelbagai usaha dilaksanakan termasuk memberi pencerahan dan kesedaran terutama dari peringkat kanak-kanak sehingga dewasa bertujuan mencegah perbuatan seperti itu.

Selain itu kata beliau, pihaknya melaksanakan kempen dalam media sosial supaya institusi kekeluargaan dapat dikukuhkan sekali gus dalam usaha mengelakkan perkara sedemikian berulang.

Pada 13 Ogos lalu, Tok siak dan seorang pekerja pembersihan yang pernah tular berhubung dakwaan rogol dalam bilik pengurusan jenazah sebuah masjid di Bukit Piatu, Jun lalu mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah Melaka atas pertuduhan percubaan persetubuhan haram.

Tok siak yang berusia 48 tahun dan ‘cleaner’ berusia 51 tahun itu membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mawardi Che Man.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan percubaan persetubuhan haram dengan pasangan yang bukan sah di sisi hukum syarak.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 1 hingga 30 April 2026, antara jam 8 pagi hingga 12 tengah hari, di bilik pengurusan jenazah masjid berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast