KUALA LUMPUR – Kolektif Mahasiswa UiTM (KMUiTM) menuntut kerajaan menjelaskan sama ada pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) turut melibatkan Akta Universiti Teknologi MARA 1976 (Akta 173) dan Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 (Akta 174).

Menurut KMUiTM, pengumuman pemansuhan AUKU sahaja tidak memadai sekiranya sekatan terhadap kebebasan mahasiswa masih dikekalkan melalui undang-undang, peraturan atau kerangka pentadbiran yang lain.

“Selagi belum dimansuhkan, selagi itu belum terbukti,” tegas KMUiTM dalam satu kenyataan hari ini.

KMUiTM turut mempersoalkan perubahan pendirian kerajaan berhubung masa depan AUKU kerana sebelum ini, Menteri Pendidikan Tinggi, Dr. Zambry Abdul Kadir menyatakan kerajaan tidak bercadang untuk memansuhkan AUKU, sebaliknya mengambil pendekatan pindaan dan penambahbaikan terhadap akta tersebut.

Namun selepas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan kini menyatakan bahawa pemansuhan AUKU telah lama dirancang.

“Jika benar telah lama dirancang, mengapa pendirian yang disampaikan kepada mahasiswa sebelum ini adalah sebaliknya?” soal KMUiTM.

KMUiTM berkata, perubahan dasar bukan sesuatu yang ditolak mahasiswa, tetapi kerajaan perlu memberikan penjelasan yang jujur dan terbuka mengenai proses serta pertimbangan yang membawa kepada perubahan pendirian tersebut.

Sebagai mahasiswa UiTM, KMUiTM turut menuntut penjelasan mengenai kedudukan Akta 173 dalam agenda reformasi pendidikan tinggi kerajaan.

Persoalan yang sama turut dibangkitkan berhubung Akta 174 yang melibatkan institusi-institusi pendidikan tertentu.

Akta 173 dan Akta 174 ialah dua undang-undang Malaysia yang berkaitan dengan institusi pendidikan tinggi, tetapi skopnya berbeza, yang mana Akta 173 adalah Akta Universiti Teknologi MARA 1976 – undang-undang khusus yang menjadi asas penubuhan dan pentadbiran Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Antara perkara yang berkaitan dengannya termasuk penubuhan dan status UiTM; struktur serta kuasa badan-badan universiti; pentadbiran dan pengurusan universiti; kuasa berkaitan pendidikan, kewangan dan hal ehwal universiti; dan kedudukan UiTM dalam kerangka perundangan negara.

Jadi, UiTM tidak hanya tertakluk kepada AUKU. Ia mempunyai akta khusus sendiri, iaitu Akta 173.

Manakala Akta 174 adalah Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 berkait dengan tatatertib pelajar di institusi-institusi pelajaran tertentu.

Menurut KMUiTM, jika matlamat pemansuhan AUKU adalah untuk memperluaskan kebebasan dan demokrasi mahasiswa, maka kerajaan perlu menjelaskan sama ada prinsip yang sama akan diterapkan kepada mahasiswa yang berada di bawah kerangka perundangan berbeza.

“Jangan sekadar mansuhkan AUKU tetapi mengekalkan sekatan yang sama melalui kerangka baharu,” kata KMUiTM.

KMUiTM turut menuntut kerajaan menjelaskan indikator yang akan digunakan bagi menentukan sama ada kebebasan mahasiswa benar-benar diperluaskan selepas AUKU dimansuhkan.

Antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah kebebasan bersuara dan mengkritik; kebebasan berpersatuan dan menubuhkan organisasi mahasiswa; kebebasan menjalankan aktiviti dan perhimpunan; kebebasan mahasiswa melibatkan diri dalam politik; dan autonomi badan perwakilan mahasiswa daripada kawalan pentadbiran universiti.

KMUiTM berkata, kejayaan reformasi tidak seharusnya diukur berdasarkan pemansuhan atau penggantian nama sesuatu akta semata-mata, sebaliknya, ukuran sebenar adalah sama ada mahasiswa selepas reformasi mempunyai lebih banyak kebebasan, autonomi dan perlindungan berbanding sebelumnya.

Tegasnya, mahasiswa tidak boleh dijadikan alat politik oleh mana-mana pihak.

Reformasi mahasiswa, katanya, mesti menghasilkan perubahan perundangan dan institusi yang berkekalan, bukannya sekadar retorik untuk mendapatkan sokongan mahasiswa.

“Kami menyambut baik pengumuman ini, tetapi kami akan menilai kerajaan berdasarkan tindakan, bukan pengumuman,” tegas KMUiTM.

Jelasnya, KMUiTM akan terus memantau proses pemansuhan AUKU serta menuntut penjelasan mengenai hala tuju Akta 173, Akta 174 dan kerangka perundangan baharu yang bakal menggantikannya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast