KUALA LUMPUR – Sebuah kereta BMW terbakar 100 peratus manakala, sebuah Perodua Axia musnah 30 peratus dalam kejadian kebakaran membabitkan dua kenderaan di KL Gateway Mall, Jalan Kerinchi, malam tadi.
Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur (PGOKL) menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 pada 9.53 malam sebelum menggerakkan pasukan bomba ke lokasi kejadian.
Susulan itu, pasukan operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai bersama sebuah jentera dan enam anggota lain-lain pangkat dikerahkan ke tempat kejadian.
Komander Operasi, Penguasa Bomba Kanan I (PBK I) Mokhtar Ramli berkata, sebaik tiba, pihaknya mendapati, kebakaran sememangnya melibatkan dua buah kenderaan.
“BMW terbakar 100 peratus manakala Perodua Axia pula musnah kira-kira 30 peratus.
“Pasukan bomba berjaya memadamkan kebakaran sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini .
Bagaimanapun, beliau berkata, punca kejadian masih dalam siasatan. – MalaysiaGazette















