KUALA LUMPUR – Atlet Johor, Chai Kai Le melakar sejarah apabila meleburkan rekod kejohanan berusia 26 tahun dalam acara rejam lembing lelaki pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, hari ini.
Pada aksi di Stadium UPM Serdang itu di sini, Kai Le melakukan lontaran sejauh 64.44 meter (m) pada percubaan kedua untuk merangkul pingat emas sekali gus memperbaharui rekod 62.33m milik atlet Sarawak, Kho Mei Kuan yang dilakukan pada SUKMA 2000 di Pulau Pinang.
Pingat perak menjadi milik atlet Pulau Pinang, Tan Chun Wei yang mencatat 60.43m, manakala seorang lagi wakil Johor, Mohd Noor Iman Norman meraih gangsa dengan 59.04m.
“Memecahkan rekod itu memang dalam jangkaan saya kerana saya telah membuat persiapan rapi untuk SUKMA ini sejak dua tahun lepas. Jadi, saya sememangnya berpuas hati dan gembira dengan keputusan yang dicapai.
“Selepas rejaman kedua, saya melakukan kesilapan dari segi teknik menyebabkan bahagian bawah belakang saya terasa sakit dan badan mula keletihan.
“Jadi, saya tidak dapat melakukan rejaman lebih baik dan selepas itu hanya memberi tumpuan untuk mengawal keadaan serta mengelakkan kecederaan menjadi lebih serius,” katanya kepada media. – MalaysiaGazette
















