Gambar hiasan

SUNGAI BULOH – Polis mengesahkan dakwaan mengenai cubaan menculik seorang pelajar di Sekolah Agama KAFA At-Taqwa, Masjid Bandar Baru Sungai Buloh di sini, yang tular di media sosial adalah tidak benar.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya mengesan satu hantaran di laman sosial Threads berhubung dakwaan berkenaan kira-kira jam 1.15 petang kelmarin.

Menurut beliau, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh turut menerima laporan polis daripada ibu kepada pelajar terbabit susulan perkara berkenaan.

“Bagaimanapun, hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati tiada kes cubaan culik seperti yang ditularkan.

“Pelajar tersebut juga berada dalam keadaan baik dan selamat bersama keluarganya,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, seorang pengguna laman sosial Threads atas nama akaun sarah_zlkfl berkongsi maklumat berkenaan kejadian cubaan menculik kanak-kanak di Sekolah Agama KAFA dekat Masjid Bandar Baru Sungai Buloh.

Hantaran yang dikongsi di dalam kumpulan media sosial Info Threads itu antara lain mendakwa penculik menggunakan modus operandi dengan menghampiri kanak-kanak KAFA dan menawarkan untuk menghantar mereka pulang ke rumah.

Dalam pada itu, Mohd Hafiz menasihatkan orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya memuat naik atau menyebarkan kenyataan yang belum disahkan, khususnya membabitkan keselamatan kanak-kanak.

“Ini kerana tindakan sedemikian boleh mencetuskan keresahan dan panik dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Polis turut meminta orang ramai yang menerima sebarang maklumat berkaitan kejadian mencurigakan supaya menyalurkannya terlebih dahulu kepada pihak berkuasa untuk pengesahan sebelum membuat sebarang hantaran di media sosial.

“Sebarang maklumat yang diterima perlulah disalurkan kepada IPD Sungai Buloh melalui talian hotline 24 jam di 03-6157 9204 (DCC) atau hubungi talian kecemasan 999 terlebih dahulu sebelum menyebarkannya,” katanya.

Mohd Hafiz turut berkata, orang ramai juga diingatkan penyebaran maklumat palsu yang boleh menimbulkan ketakutan atau keresahan awam boleh membawa kepada tindakan undang-undang.

“Individu terbabit boleh didakwa di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya,” katanya.

Selain itu, katanya lagi, tindakan juga boleh diambil di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Akta ini memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here