JOHOR BAHRU – Kerajaan perlu serius dan tegas menangani isu pelarian Myanmar termasuk etnik Rohingya di Johor yang menimbulkan masalah dan melanggar undang-undang.
Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Mohd Faizul Salleh berkata, antara isu yang perlu ditandatangani melibatkan aspek pengurusan penempatan, keselamatan, kebajikan dan keharmonian sosial.
“Amanah Johor berpandangan kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak boleh mengambil sikap sambil lewa terhadap isu ini dan PBT perlu bertegas menguatkuasakan peraturan.
“Beberapa kawasan yang menjadi tumpuan komuniti pelarian perlu dipantau secara bersepadu bagi memastikan tidak berlaku masalah sosial, eksploitasi tenaga kerja, kegiatan tanpa lesen atau pelanggaran undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sekiranya mereka melakukan kesalahan seperti berniaga atau memandu tanpa lesen atau terlibat aktiviti judi, perkara itu perlu ditangani berdasarkan undang-undang dan tidak boleh dibiarkan tanpa tindakan.

Katanya, Amanah Johor turut berpandangan bahawa isu berkenaan tidak boleh diselesaikan kerajaan negeri bersendirian sebaliknya perlu duduk semeja dengan Kerajaan Persekutuan.
Jelasnya, ini termasuk agensi keselamatan dan pihak berkuasa berkaitan bagi mendapatkan satu mekanisme pengurusan pelarian yang lebih tersusun dan berkesan.
Tambahnya, Amanah Johor mencadangkan agar kawasan penempatan atau pusat transit yang bersesuaian diwujudkan dengan kawalan serta pemantauan sewajarnya, khususnya bagi mengelakkan penempatan tidak terkawal di kawasan bandar dan kawasan perumahan rakyat.
Pada masa yang sama, tambahnya, kebajikan dan keselamatan komuniti pelarian juga perlu diberikan perhatian.

“Pendekatan yang tegas tidak bermaksud berlaku zalim, sebaliknya penguatkuasaan mesti dilaksanakan secara berperikemanusiaan, adil dan mengikut undang-undang,” tegasnya.
Kerajaan negeri juga katanya, perlu memastikan terdapat penyelarasan data dan pemantauan lebih baik bersama-sama Kerajaan Persekutuan bagi mengenal pasti status setiap individu, khususnya mereka yang tidak mempunyai dokumen sah atau melanggar peraturan yang ditetapkan.
Amanah Johor katanya, menegaskan bahawa isu pelarian tidak boleh dijadikan bahan politik semata-mata.

Kerajaan ujarnya, perlu mempunyai pelan tindakan jangka pendek serta panjang supaya keselamatan rakyat Johor terjamin dan pada masa sama prinsip kemanusiaan dan undang-undang negara terus dihormati.
“Amanah Johor mendesak kerajaan negeri supaya tidak menunggu sehingga berlaku insiden lebih serius sebelum mengambil tindakan. Pencegahan, penguatkuasaan dan koordinasi antara agensi perlu dimulakan sekarang, bukannya selepas masalah menjadi lebih besar,” katanya.
Tambahnya, Amanah Johor sedia menyokong sebarang usaha kerajaan negeri bertujuan memperkemas pengurusan komuniti pelarian, menjaga keselamatan rakyat serta memastikan Johor terus menjadi negeri yang aman, teratur dan mempunyai sistem penguatkuasaan berkesan. – MalaysiaGazette
















