Anthony Loke mencuba proses imbasan pasport di e-gate semasa melawat perkembangan RTS Link Johor Bahru-Singapura di Bukit Chagar, Johor Bahru hari ini

JOHOR BAHRU – Kerajaan Pusat memperuntukkan RM60 juta membina satu sistem jaringan atau rangkaian perhubungan di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Bukit Bukit Chagar di sini dengan kos RM60 juta.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, projek berkenaan sudah mendapat kelulusan Kementerian Ekonomi dan akan dimulakan dalam masa terdekat dengan mengambil masa 12 bulan .

“Menerusi sistem ini akan menghubungkan Kompleks ICQ Bukit Chagar dengan Stesen KTMB di Jb Sentral secara terus menerusi jejambat. Ini merupakan projek tambahan untuk menginterasikan sebanyak mungkin pengangkutan awam di Kompleks ICQ Bukit Chagar.

“Pada masa sama perkhidmatan lain akan dimulakan serentak dengan operasi Sistem Transit Rapid (RTS) Link dijadualkan mula beroperasi pada tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikan dalam sidang akhbar selepas melakukan lawatan kerja dan meninjau perkembangan Kompleks ICQ Bukit Chagar hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah; Pengerusi RTS Operations Pte Ltd (RTSO), Datuk Ir Khairil Anwar Ahmad dan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Anthony Loke menunjukkan tempat permulaan sebelum urusan keluar masuk ke Singapura bermula di Kompleks ICQ Bukit Chagar, Johor Bahru hari ini

 

Katanya, apabila siap nanti, mana-mana penumpang yang menggunakan KTMB boleh berhenti di stesen KTMB dan terus bersambung ke stesen RTS Bukit Cagar melalui jejambat.

“Ia akan memudahkan penumpang dan pada masa sama menggalakkan pengguna RTS Link menggunakan pengangkutan awam untuk sampai ke Bukit Cagar atau keluar dari stesen itu,” katanya.

Anthony berkata, integrasi pengangkutan awam itu turut melibatkan perkhidmatan bas henti-henti yang akan dihubungkan dengan hab pengangkutan awam berhampiran JB Sentral menerusi kemudahan jejambat.

“Jadi kita mahu memastikan penyuraian trafik daripada RTS Link dapat dilaksanakan dengan baik melalui pelbagai mod pengangkutan awam.

“Selain bas dan KTMB, pengguna juga boleh menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam lain yang disediakan di Johor Bahru,” katanya.

Beliau berkata, jaringan KTMB-RTS Link itu akan dilaksanakan secara serentak dengan usaha mengintegrasikan perkhidmatan pengangkutan awam lain bagi menyokong operasi RTS Link.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast