JOHOR BAHRU – Kadar tambang Sistem Transit Rapid (RTS) Link Malaysia-Singapura akan diumum Kementerian Pengangkutan Malaysia dan Singapura secara bersama-sama nanti.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, ini kerana projek berkenaan merupakan kerjasama yang melibatkan dua negara tersebut secara bilateral.
“Menteri Pengangkutan akan umumkan dan kadar tambangnya masih dalam perbincangan,” katanya mengulas penetapan tambang RTS Link Malaysia-Singapura yang masih belum diumum.
Beliau berkata demikan dalam sidang akhbar selepas melakukan lawatan kerja dan meninjau perkembangan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Bukit Chagar di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah; Pengerusi RTS Operations Pte Ltd (RTSO), Datuk Ir Khairil Anwar Ahmad dan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Sementara itu, beliau berkata, bangunan CIQ dan stesen RTS Link di sebelah Malaysia kini sudah siap daripada segi fizikal manakala pemasangan sistem juga telah diselesaikan.
“Sekarang kita berada dalam fasa ujian termasuk ujian pengintegrasian sistem, diikuti free run dan trial run sebelum dibuka untuk operasi kepada orang ramai.
“Fasa ujian dan percubaan ini amat kritikal bagi memastikan semua sistem berfungsi dengan baik seperti yang diharapkan,” katanya.
Ditanya sekiranya sistem pelepasan imigresen automatik (e-gaw) di Kompleks ICQ Bukit Chagar mengalami gangguan sistem, beliau berkata, proses keluar masuk akan dilakukan secara manual.
Jelas beliau, pihaknya sudah mempunyai pelan kecemasan atau plan kedua bagi memastikan urusan imigresen tidak tergendala.- MalaysiaGazette
















