KUALA LUMPUR – Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dilantik sebagai Pengerusi Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) yang baharu berkuat kuasa 13 Ogos.
Beliau menggantikan Datuk Seri Saripuddin Kasim yang menerajui MRT Corp sejak November 2025.
Dalam kenyataan hari ini, MRT Corp berkata pelantikan itu dibuat ketika organisasi berkenaan sedang berusaha melaksanakan mandat utama pembangunan bandar dan pembangunan rangkaian rel negara, termasuk Projek RTS Link Johor Bahru–Singapura dan Laluan LRT Mutiara Pulau Pinang.
Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Zarif Hashim mengalu-alukan pelantikan itu, sambil menyifatkan Wan Ahmad Dahlan mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran awam dan kepimpinan institusi.
“Pengalaman beliau dalam pengurusan institusi dan pelaksanaan dasar akan menyokong MRT Corp dalam usaha terus memperkukuh keupayaan pelaksanaan serta memenuhi mandatnya untuk menjadi pemangkin kepada kelestarian bandar dan mobiliti rakyat,” kata Zarif.
Wan Ahmad Dahlan, yang berkhidmat sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam sejak Januari 2024, mempunyai pengalaman lebih tiga dekad dalam perkhidmatan awam selepas menyertai perkhidmatan pentadbiran dan diplomatik pada 1995.
Beliau pernah memegang beberapa jawatan kanan, termasuk Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan di Jabatan Perdana Menteri, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri dan Bendahari Rumah Tangga Diraja di Istana Negara.
Beliau kini merupakan Pengerusi Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA Malaysia) dan Razak School of Government, selain menganggotai lembaga pengarah Malaysia Rail Link Sdn Bhd, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Terdahulu, Saripuddin melepaskan jawatan Pengerusi MRT Corp berkuat kuasa 1 Mac 2026.
Syarikat itu dalam kenyataannya berkata, keputusa tersebut dibuat bagi membolehkan Saripuddin memberi tumpuan kepada kepentingan lain. -MalaysiaGazette
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast
















