Ahmad (dua dari kiri) merasmikan Nexgen Builders Contractor 2026 Convention: Building a New Generation dan melancarkan Facility Management Good Practice Guide di PICCA Convention Centre @ Butterworth Arena, Pulau Pinang hari ini.

BUTTERWORTH – Jumlah kontraktor yang berdaftar dalam bidang pengurusan fasiliti masih rendah berbanding kontraktor pembinaan, meskipun nilai projek pengurusan fasiliti dan penyenggaraan mencecah RM39.59 bilion dalam tempoh tiga tahun.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, hanya 1,541 kontraktor berdaftar di bawah pengkhususan F01 dan F02 bagi perkhidmatan fasiliti dan penyenggaraan.

Katanya, jumlah itu jauh lebih kecil berbanding 136,824 kontraktor pembinaan yang berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), membabitkan kontraktor G1 hingga G7.

“Ini peluang yang perlu direbut oleh pelbagai kontraktor yang mempunyai pengkhususan dalam pengurusan fasiliti dan bukan hanya kita terbabit dalam pembinaan, kita juga perlu terbabit dalam penyenggaraan.

“Penyenggaraan adalah peluang perniagaan yang kadang-kadang dilupakan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Nexgen Builders Contractor 2026 Convention: Building a New Generation dan melancarkan Facility Management Good Practice Guide di PICCA Convention Centre @ Butterworth Arena di sini, hari ini.

Ahmad berkata, nilai projek pengurusan fasiliti dan penyenggaraan yang direkodkan bagi tempoh 2023 hingga 2025 berjumlah RM39.59 bilion.

Beliau berkata, sebelum ini industri lebih menumpukan kepada pembinaan dan tidak menekankan aspek penyenggaraan aset.

“Kita tidak ada mentaliti penyenggaraan. Lepas kita bina, tinggal. Bina, tinggal. Sedangkan mereka perlu penyenggaraan.

“Jalan pun perlu penyenggaraan, bukan hanya bangunan. Jambatan pun perlu penyenggaraan. Kalau tidak diselenggara, umur hayat sama ada jalan atau bangunan itu akan pendek berbanding diselenggara dengan baik,” katanya.

Ahmad berkata, pihaknya kini memberi tumpuan kepada penyenggaraan aset dan berharap lebih ramai kontraktor melihat bidang pengurusan fasiliti sebagai peluang perniagaan.

Beliau berkata, pertambahan kontraktor dalam bidang berkenaan juga penting bagi memberi lebih banyak pilihan dalam pemilihan kontraktor.

“Kita berharap agar lebih ramai kontraktor mendaftar sebagai kontraktor fasiliti, FM, Facility Management.

“Saya ingin utamakan perkara ini supaya boleh diwar-warkan, supaya segi guna boleh naik jadi double ke dalam tempoh.

“Kalau tak ramai, kami pun payah juga dari segi memilih. Pilihan kalau daripada ramai itu lebih tepatlah pemilihannya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here