SHAH ALAM – Polis menyiasat semua aspek termasuk kemungkinan wujud tekanan di sekolah berhubung kematian seorang guru wanita yang ditemukan meninggal dunia di sebuah sekolah di daerah Hulu Selangor pada 30 Julai lalu.
Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, pihaknya tidak mengehadkan penelitian kepada mana-mana faktor tertentu selagi kertas siasatan belum dilengkapkan untuk dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya.
“Itu sudah tentu (siasatan kemungkinan guru menghadapi tekanan di sekolah) sebab siasatan merangkumi pelbagai aspek. Kita tidak pernah menjurus kepada sesuatu (khusus) selagi siasatan belum selesai.
“Kita siasat terhadap semua aspek. Jadi sekiranya tekanan itu sebagai salah satu yang perlu dilihat, sudah tentu kita siasat ke arah itu,” katanya ketika sidang media di Mes Pegawai IPK Selangor di sini, hari ini.
Terdahulu beliau berkata, meskipun kes tersebut diklasifikasikan sebagai laporan kematian mengejut (SDR), namun polis masih menjalankan siasatan.
Tambah Shazeli, pihaknya masih memanggil individu yang boleh membantu siasatan untuk rakaman percakapan.
“Siasatan belum selesai, masih berjalan dan masih ramai yang kita perlu panggil untuk mendapatkan pengesahan. Tidak perlu saya kongsikan berapa jumlah saksi yang telah dipanggil cukuplah saya katakan rakaman keterangan sedang diambil dan akan diambil lagi bagi membantu siasatan,” katanya lagi.
Terdahulu, seorang guru wanita ditemukan meninggal dunia di sebuah sekolah di daerah Hulu Selangor pada 30 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Manimaran Munjandi dilaporkan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan MERS 999 kira-kira pukul 7.15 pagi berhubung kejadian itu. – MalaysiaGazette
















