KOLKATA – Satu kebakaran memusnahkan sebuah hotel di bandar ini, mengorbankan sembilan orang, termasuk seorang kanak-kanak, menurut pihak berkuasa.
Pengarah Perkhidmatan Bomba negeri Bengal Barat, Anuj Sharma berkata, kebakaran tercetus awal pagi menyebabkan asap tebal menyelubungi hotel itu.
Menurutnya, siasatan awal menunjukkan kemungkinan berlaku letupan pada penghawa dingin menjadi punca kebakaran di hotel bajet Shika Inn.
Sebahagian mangsa ditemui di dalam bilik air.
Pasukan forensik dikerahkan untuk memeriksa lokasi kejadian selepas kebakaran berjaya dikawal.
Menurut polis dalam satu kenyataan, seramai 60 tetamu menginap di hotel berkenaan semasa kejadian.
Dalam pada itu media tempatan melaporkan seramai enam orang cedera dan dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Pada Isnin lalu, lapan orang maut dalam kebakaran di sebuah hotel di Tarapith.
Seorang anggota parti pemerintah Bengal Barat, Santosh Pathak berkata, sebahagian mangsa dalam kebakaran Rabu dipercayai warga Bangladesh yang berkunjung ke Kolkata bagi mendapatkan rawatan perubatan.
“Kami sedang cuba mengesahkan kewarganegaraan mangsa,” katanya kepada pemberita.
Akhbar The Indian Express, yang memetik sumber polis, melaporkan tiga daripada mangsa yang maut merupakan warga Bangladesh.
Atiyar Rehman, seorang pelancong dari Satkhira, Bangladesh, memberitahu akhbar berbahasa Inggeris itu bahawa hotel berkenaan tidak mempunyai sistem keselamatan kebakaran.
“Kami terjaga dalam keadaan sukar bernafas akibat asap. Kami entah bagaimana berjaya melarikan diri,” katanya.
Perdana Menteri India, Narendra Modi berkata, beliau amat berdukacita selepas mengetahui kejadian itu.
“Semoga mereka yang cedera segera pulih. Pentadbiran tempatan sedang membantu mereka yang terjejas,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Menteri Bomba Bengal Barat, Kaushik Chaudhary berkata, polis sedang menyiasat kemungkinan berlaku kecuaian dari aspek keselamatan di hotel yang terletak di kawasan bandar yang sesak dan sibuk itu.
Anggota bomba menggunakan tangga untuk memanjat bangunan, memasuki hotel melalui tingkap dan menyelamatkan mangsa yang terperangkap di dalam.
“Ketebalan asap menyukarkan anggota bomba menaiki tangga dan sampai ke tingkat atas,” seorang pegawai polis dipetik sebagai berkata oleh agensi berita Press Trust of India (PTI). – Agensi
















