Dr Mohammad Fahmi Ngah

SHAH ALAM – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memberi jaminan tindakan undang-undang akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam insiden amang seksual melibatkan guru dan pelajar sekolah agama.

Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr. Mohammad Fahmi Ngah berkata, pihaknya memandang serius insiden berkenaan dan berharap Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan secara menyeluruh terhadap kes terbabit.

“Saya yakin Jabatan Agama Islam Selangor akan mengambil tindakan yang wajar selaras dengan undang-undang sedia ada jika perkara ini berkaitan, termasuk melihat semula status pendaftaran sekolah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu katanya, pentadbiran negeri kesal terhadap insiden amang seksual songsang terutama melibatkan sekolah agama.

Menurut beliau, lebih mendukacitakan apabila kejadian itu berlaku di sekolah agama yang sepatutnya menjadi tempat selamat kepada pelajar untuk membesar dari segi fizikal, akal dan emosi.

Beliau berkata, JAIS sebelum ini telah mengambil langkah sewajarnya bagi mengekang potensi kelakuan tidak bermoral melibatkan guru dan pelajar, sesama guru serta sesama pelajar.

Sehubungan itu, beliau meminta jemaah pengurusan sekolah mengambil tindakan tegas bagi memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang di sekolah masing-masing.

“Pihak sekolah perlu tegas dan melaksanakan polisi tidak kompromi dan dasar ‘You do this, you go’,” katanya.

Dalam pada itu, Mohammad Fahmi berkata, JAIS sentiasa terbuka menerima aduan daripada pelajar atau mana-mana pihak sekiranya terdapat elemen, potensi atau tanda-tanda yang boleh membawa kepada kejadian gangguan atau amang seksual di sekolah mahupun asrama.

Katanya, tindakan undang-undang yang wajar akan segera diambil terhadap mana-mana pesalah dan tiada kompromi diberikan.

“Sekolah harus menjadi tempat selamat kepada anak-anak kita,” katanya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here