Michael Gan Peng Lam

KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mencadangkan Kerajaan Madani memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar empat peratus sebagai alternatif lebih menyeluruh kepada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Naib Presidennya, Datuk Seri Michael Gan Peng Lam berkata, cadangan itu lebih baik berbanding mengintegrasikan elemen GST dengan SST yang berisiko mewujudkan sistem percukaian lebih rumit serta meningkatkan beban pematuhan kepada pengguna dan perniagaan.

Katanya, keterbukaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengkaji integrasi elemen GST dengan SST bagi menambah baik sistem percukaian negara wajar dialu-alukan.

“Integrasi kedua-dua sistem ini berisiko mewujudkan sistem percukaian yang lebih rumit serta menambah beban pematuhan kepada pengguna dan perniagaan.

“Kerajaan sendiri mengakui bahawa GST merupakan sistem percukaian yang lebih cekap, namun masih keberatan untuk memperkenalkannya semula kerana kebimbangan terhadap kesannya kepada rakyat ketika kos sara hidup masih tinggi dan tahap pendapatan belum mencukupi,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Michael berkata, jika GST diakui lebih cekap, kerajaan sepatutnya menyemak semula mekanisme cukai itu supaya lebih baik, adil dan mesra rakyat berbanding terus memperluas SST.

Katanya, peluasan SST sejak Julai 2025 kepada beberapa sektor perkhidmatan termasuk sewaan dan pajakan, pembinaan, perkhidmatan kewangan, kesihatan swasta serta pendidikan menunjukkan keperluan untuk menilai semula pendekatan percukaian negara.

“Kerajaan menjangkakan peluasan itu menjana tambahan hasil sekitar RM10 bilion setahun mulai tahun ini, tetapi sebahagian pelaksanaannya kemudiannya terpaksa disemak semula susulan maklum balas rakyat dan industri,” katanya.

Sehubungan itu, Gerakan menggesa kerajaan melaksanakan semula GST pada kadar empat peratus dengan SST dimansuhkan, selain mengecualikan atau mengenakan kadar sifar terhadap barangan dan perkhidmatan asas termasuk makanan asas, perkhidmatan kesihatan penting serta pendidikan.

Menurut Michael, kerajaan juga perlu mewujudkan mekanisme pembayaran balik GST secara automatik dengan tempoh masa jelas, khususnya kepada pengeksport dan perniagaan yang mempunyai bekalan berkadar sifar.

“Kerajaan perlu menyediakan bantuan tunai bersasar atau mekanisme pampasan kepada golongan berpendapatan rendah bagi mengurangkan kesan cukai penggunaan terhadap perbelanjaan isi rumah.

“Tempoh peralihan yang mencukupi, mekanisme pematuhan lebih mudah serta bantuan teknikal kepada perniagaan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), juga perlu disediakan sebelum sebarang perubahan besar sistem percukaian dilaksanakan,” katanya.

Michael berkata, reformasi percukaian tidak seharusnya hanya bertujuan meningkatkan kutipan hasil, sebaliknya perlu menghasilkan sistem yang mudah, telus, cekap dan mampan tanpa membebankan golongan berpendapatan rendah serta sederhana atau menjejaskan daya saing perniagaan.

“Perbahasan mengenai GST dan SST mesti berasaskan kepentingan ekonomi jangka panjang negara.

“Sistem percukaian yang baik bukanlah sistem yang sekadar mengutip lebih banyak cukai, tetapi sistem yang adil kepada rakyat, mudah dipatuhi oleh perniagaan dan mampu menjamin hasil negara secara mampan,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here