Young Syefura Othman

KUANTAN – Pencerobohan tanah mahupun perbuatan vandalisme seharusnya dikenakan tindakan perundangan sewajarnya.

Namun, perbuatan khianat individu terhadap arca patung sembahan agama bukan Islam di sebuah kuil di Bukit Tinggi, Bentong menggambarkan perlakuan individu yang tidak menghormati agama lain, kata Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman.

Beliau berkata demikian sebagai balasan kenyataan pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung menerusi laman sosial Facebook berhubung kejadian itu.

“Saya juga tidak bersetuju pada pencerobohan haram atau apa istilah sekalipun, sebagai rakyat Malaysia kita perlu ada rasa tanggungjawab dan patuh kepada undang-undang.

“Saya juga difahamkan tanah yang dimaksudkan adalah tanah milik persendirian. Ia bukan tanah kerajaan negeri mahupun persekutuan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.

Terdahulu, Firdaus Wong menerusi hantarannya menyarankan pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pihak yang membina kuil yang dikatakan tidak mempunyai kelulusan selain siasatan terhadap pelaku vandalisme yang merosakkan arca patung di kuil terbabit.

Sementara itu, Young Syefura menyeru agar semua pihak berhenti memainkan sentimen keagamaan dan propaganda membenci sesama kaum, sebaliknya menyampaikan mesej yang lebih baik menyatu padukan masyarakat.

“Jika dalam Islam juga ada menyebut hormat menghormati agama lain, kenapa sekarang kita melakukan sebaliknya?” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here