Muhammad Ammar Zulkha Helmy (tengah), bersama ibu bapanya and kru ikhlas.com.

KUALA LUMPUR – Ikhlas Com Travel Sdn Bhd (ikhlas.com) merealisasikan impian personaliti media sosial, Budak 46 atau nama sebenarnya Muhammad Ammar Zulkha Helmy, untuk menunaikan umrah dengan menghadiahkan pakej perjalanan ke Tanah Suci.

Ammar, yang dikenali menerusi kandungan video gerak perlahan atau slow motion di media sosial, kini menghidap retinitis pigmentosa, iaitu penyakit mata yang boleh menyebabkan kemerosotan penglihatan secara beransur-ansur.

Menyedari impian Ammar untuk menunaikan umrah dan melihat Kaabah, kakitangan ikhlas.com terbang ke Pulau Pinang untuk menyampaikan kejutan kepadanya.

Pada awalnya, kunjungan itu dirancang bagi meminta Ammar menghasilkan ulasan terhadap set bagasi ikhlas.com menerusi akaun TikToknya.

Bagaimanapun, kunjungan berkenaan bertukar menjadi momen penuh emosi apabila Ammar dimaklumkan bakal menjadi tetamu Allah dan dijangka berlepas ke Tanah Suci pada November ini menerusi pakej Umrah Premium Musim Sejuk.

Ketua Mutawif dan Penasihat Syariah ikhlas.com, M. Iqbal Hanif Mohamed Rusdi berkata, kunjungan kru syarikat itu ke rumah Ammar bukan sekadar untuk menjalin kerjasama menghasilkan kandungan.

“Tujuan kami bukan untuk meminta Ammar membuat ulasan mengenai set bagasi kami, sebaliknya kami datang membawa berita gembira.

“Insya-Allah, Ammar telah lama berdoa untuk berpeluang menunaikan umrah dan hari ini kami berbesar hati menyampaikan berita bahawa Ammar akan menjadi tetamu Allah serta impian dan doanya akan menjadi kenyataan,” katanya.

Menurutnya, Ammar akan ditemani bapanya, Helmy Salleh, yang turut dijemput ikhlas.com untuk menunaikan ibadah umrah bersamanya.

Katanya, kehadiran bapanya di sisi Ammar bagi memastikan dia dapat menunaikan ibadah umrah dengan lebih selesa dan tenang sepanjang perjalanan.

Sementara itu, Ammar menyifatkan peluang berkenaan sebagai satu nikmat yang amat disyukuri kerana masih menyimpan impian untuk melihat Kaabah dengan penglihatan yang dimilikinya ketika ini.

“Saya amat bersyukur atas peluang ini untuk merasai nikmat yang dikurniakan Allah.

“Impian saya selama ini adalah untuk menunaikan umrah dan melihat Kaabah selagi saya masih mempunyai penglihatan. Walaupun suatu hari nanti saya kehilangan penglihatan, saya akan sentiasa bersyukur atas segala nikmat yang telah Allah kurniakan kepada saya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here