Tangkap layar video seorang warga emas disimbah petrol sebelum dibakar dalam kejadian di Kepong, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Pemandu e-hailing berusia 59 tahun yang dipercayai terlibat dalam kes menyimbah petrol sebelum membakar seorang wanita dalam kejadian di sebuah premis nombor ramalan di Kepong, 9 Ogos lalu direman selama tujuh hari.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, hasil siasatan mendapati suspek mengaku terlibat dalam kejadian tersebut ekoran tidak puas hati terhadap mangsa.

Menurutnya, polis turut merampas beberapa barangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian itu antaranya sebuah botol minuman berisi cecair disyaki minyak petrol, sebuah topi keledar, sehelai baju kemeja, sebuah motosikal Yamaha 135LC serta satu rangkai kunci motosikal beserta cukai jalan.

Tambahnya, suspek bagaimanapun tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

“Kes ini telah disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan suspek telah ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 25 Ogos ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Fadil menambah, polis akan terus komited dalam menguatkuasakan undangundang bagi menjaga ketenteraman masyarakat.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah, boleh menyalurkan maklumat atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482222 atau mana-mana Balai Polis yang berhampiran,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan seorang wanita berusia 62 tahun yang bekerja sebagai penjaga kaunter sebuah premis nombor ramalan di Taman Pusat Kepong disimbah cecair disyaki petrol sebelum dibakar oleh seorang lelaki kira-kira pukul 8 pagi, 9 Ogos lalu.

Mangsa yang mengalami kecederaan melecur kira-kira 50 peratus pada tubuh menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan kini dalam keadaan kritikal tetapi stabil. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here