Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menjelaskan tindakan undang-undang yang diambil beliau bukan bertujuan menakutkan, menekan atau menutup mulut sesiapa.

Menurut Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) itu, tindakan tersebut juga bukan kerana takut kepada kebenaran, tetapi kerana budaya politik fitnah dan provokasi berunsur innuendo mesti dihentikan sebelum lebih ramai menjadi mangsa.

Ujarnya, mahkamah sudah berulang kali menegaskan bahawa undang-undang tidak melindungi fitnah yang berlindung di sebalik modus operandi hanya bertanya soalan.

Tambah beliau, prinsip undang-undang adalah jelas di mana innuendo dan soalan jahat tetap boleh disaman melalui precedent kes fitnah politik tanah air, termasuk kes-kes yang melibatkan pimpinan Pakatan Harapan (PH).

“Saya juga manusia biasa. Saya mempunyai keluarga, maruah, dan amanah yang perlu dipelihara.

“Fitnah yang diulang berkali-kali walaupun dibungkus rapi dalam bentuk soalan berniat jahat atau innuendo bukan sahaja mencemarkan nama seseorang, malah berisiko menyesatkan masyarakat untuk menerima tuduhan melampau sebagai kebenaran.

“Jika ada bukti sahih, kemukakan kepada pihak berkuasa dan saya bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Sebelum ini, Asyraf Wajdi mengarahkan peguamnya untuk menyerahkan Notis Tuntutan (LOD) bagi memulakan saman sebanyak RM5 juta kepada pemilik-pemilik akaun berhubung hantaran berunsur fitnah dan mengaibkan berkaitan isu Lembaga Tabung Haji (TH).

Sementara itu, Asyraf Wajdi berkata, beliau yakin Allah SWT akan menunjukkan jalan kebenaran dalam tindakan saman tersebut.

Dalam masa sama, beliau mengulangi pendirian tidak akan mengambil walau satu sen pun wang ganti rugi yang dituntut sekiranya menang dalam kes saman tersebut.

“Insya-Allah, saya juga telah berjanji, setiap saman dan wang ganti rugi yang dituntut, jika berjaya kelak TIDAK AKAN SATU SEN PUN saya gunakan untuk diri sendiri.

“Sebaliknya akan disalurkan ke Yayasan Pelajaran MARA untuk manfaat pelajar miskin, yatim dan susah,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here