Pengarah SPRM Pahang, Mohd Shukor Mahmud (tengah) bergambar bersama pemenang Pertandingan Pidato Celik MADANI Peringkat Negeri Pahang Tahun 2026 di sini, semalam.

KUANTAN – Pendidikan integriti perlu dipupuk sejak di bangku sekolah bagi memastikan generasi muda bukan sahaja berilmu dan berdaya saing, malah berani menolak rasuah serta penyalahgunaan kuasa.

Menerusi pendekatan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang memperkukuh pendidikan antirasuah dalam kalangan pelajar menerusi Pertandingan Pidato Celik MADANI Peringkat Negeri Pahang Tahun 2026, di sini.

Pengarah SPRM Pahang, Mohd Shukor Mahmud berkata, usaha membanteras rasuah tidak boleh hanya bergantung kepada tindakan penguatkuasaan, sebaliknya perlu dimulakan dengan pembentukan nilai integriti sejak usia muda.

Katanya, golongan muda merupakan kelompok penting yang bakal mencorakkan kepimpinan dan masa depan negara, justeru mereka perlu dididik untuk memahami kepentingan amanah, integriti dan akauntabiliti.

“Kerjasama strategik ini akan terus diperkasakan bagi melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dari sudut ilmu dan kepimpinan, tetapi turut teguh dengan nilai amanah, integriti serta akauntabiliti.

“Ini selaras dengan aspirasi membina Malaysia MADANI yang bebas rasuah,” katanya ketika merasmikan pertandingan berkenaan di De Rhu Beach Resort, Balok, di sini, semalam.

Pertandingan anjuran bersama SPRM Pahang, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Negeri Pahang dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang) itu menghimpunkan 15 peserta daripada pelbagai peringkat persekolahan.

Menariknya, pengucapan awam digunakan sebagai medium untuk memberi ruang kepada pelajar menyuarakan pandangan, idea dan aspirasi mereka berkaitan integriti serta usaha membanteras rasuah.

Tiga kategori dipertandingkan dengan Suci Safya Elbushra Syaifuldin dari Sekolah Kebangsaan Felda Purun muncul juara Kategori Sekolah Kebangsaan (Tahun 4 hingga 6).

Bagi Kategori Sekolah Menengah (Tingkatan 1 hingga 3), kemenangan diraih Mukhriz Muzakkir Mohd Nazre dari Sekolah Menengah Kebangsaan Abu Bakar, manakala Nur Aisyah Amani Basri dari Sekolah Menengah Kebangsaan Felda Jengka 4 menjuarai Kategori Sekolah Menengah (Tingkatan 4 hingga 6).

Proses penjurian dikendalikan barisan juri berpengalaman diketuai Pegawai Khas Tengku Mahkota Pahang, Teo Wei Sing selaku Ketua Juri, bersama Ketua Penolong Pengarah Bahasa JPN Pahang, Mat Ganti Mansor dan pegawai SPRM Pahang, Nor Hidayah Mohd Nor.

Hadir sama, Pengarah YADIM Negeri Pahang, Ustaz Aizuddin Hakim Mohd Yusof.

Program berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha memperkasakan Program Wira Anti Rasuah (WAR) dalam membentuk generasi muda yang mempunyai jati diri kukuh serta mampu menjadi benteng awal menolak budaya rasuah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here