ISKANDAR PUTERI – Alasan pihak kilang di kawasan Southern Industrial and Logistics Clusters (SILC), di sini yang memasang bendera Jalur Gemilang dan bendera Johor terbalik kerana tersilap tidak boleh diterima.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad berkata, alasan berkenaan dianggap tidak munasabah kerana melibatkan lebih daripada satu bendera.
“Wakil pihak kilang ketika ditemui mengakui pemasangan bendera dilakukan pihak pengurusan, namun mendakwa kesalahan itu berlaku kerana tersilap.
“Kalau dua-dua bendera tersilap, bagi saya memang tidak betul. Ini menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena daripada pihak mereka,” katanya ketika ditemui pemberita di kilang terbabit malam tadi.
Tegasnya, alasan tidak tahu atau tersilap tidak seharusnya digunakan bagi mengelak tindakan, terutama apabila melibatkan pemasangan bendera yang menjadi lambang kedaulatan negara dan negeri.

Beliau sebelum itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, selepas menerima aduan berhubung kesalahan berkenaan.
Pandak turut menghubungi Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIB) dan polis sebelum bergegas ke lokasi bagi memeriksa sendiri keadaan tersebut.
Beliau mendakwa terpaksa menunggu kira-kira 20 minit di hadapan pagar premis tersebut sebelum seorang wakil pengurusan tampil memberikan penjelasan.
Katanya, pemeriksaan mendapati dua daripada tiga bendera yang dipasang pada tiang di hadapan premis berkenaan berada dalam keadaan terbalik.
“Apabila kita sampai di tempat kilang tersebut, kita mendapati memang bendera itu terbalik, termasuk Jalur Gemilang dan bendera Johor,” katanya.

Menurutnya, pihak berkuasa tempatan (PBT) turut menemukan beberapa kesalahan lain ketika pemeriksaan termasuk dakwaan premis berkenaan tidak mempunyai lesen perniagaan dan tiada lesen iklan.
Pandak berkata, pihaknya turut mendapati pekerja asing sedang menjalankan aktiviti pemprosesan bahan kayu untuk menghasilkan pelet ketika pemeriksaan dilakukan.
Beliau turut mempersoalkan bagaimana premis berkenaan boleh beroperasi sekiranya benar tidak mempunyai lesen daripada PBT.
“Dimaklumkan kilang ini sudah beroperasi lebih tiga tahun. Tidak sepatutnya begitu lama operasi berjalan tanpa tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya,” katanya.
Beliau menggesa semua agensi berkaitan menjalankan siasatan menyeluruh dan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang pelanggaran undang-undang.

Lebih membimbangkan katanya, pemeriksaan turut mendapati 12 pekerja warga Myanmar tidak mempunyai permit kerja atau dokumen berkaitan ketika menjalankan pekerjaan di premis terbabit.
“Saya minta polis siasat kerana mereka tidak mempunyai dokumen yang sepatutnya. Alasan dokumen dipegang pihak ejen juga tidak boleh dijadikan alasan,” katanya.
Beliau menegaskan tindakan tegas diambil terhadap pihak yang didapati melanggar undang-undang, termasuk isu penggajian pekerja asing tanpa dokumen sah.
Dalam pada itu, Pandak berkata, kesalahan memasang Jalur Gemilang secara terbalik bukan perkara baharu setiap kali negara menghampiri sambutan Hari Kebangsaan.
Menurutnya, perkara itu perlu dipandang serius kerana Jalur Gemilang dan bendera Johor mempunyai nilai serta simbol penting kepada rakyat Malaysia dan rakyat negeri Johor.

“Kita sebagai rakyat Malaysia dan rakyat Johor menganggap ini satu perkara yang biadab. Kita tidak boleh berkompromi mengenai Jalur Gemilang ataupun bendera Johor yang amat kita sayangi,” katanya.
Beliau berkata, PBT juga sudah mengambil tindakan terhadap premis terbabit dengan mengeluarkan notis penutupan serta kompaun selepas pemeriksaan dilakukan.
Pandak turut mengingatkan pengusaha premis supaya menghormati simbol negara dan negeri, khususnya menjelang sambutan Hari Kebangsaan yang ke-69.
Semalam MBIP mengarahkan kilang terbabit menghentikan operasi serta-merta selepas didapati menjalankan perniagaan tanpa lesen yang sah serta turut dikenakan kompaun kerana mempamerkan papan iklan tanpa lesen.
Isnin lalu, Majlis Perbandaran Kulai Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) menutup serta-merta operasi sebuah kilang alat ganti di Pusat Perindustrian Indahpura, Kulai, atas kesalahan yang sama.
Polis kemudian menahan seorang lelaki warga Nepal dan seorang wanita tempatan kerana terlibat memasang Jalur Gemilang dan bendera Johor secara terbalik di sebuah kilang alat ganti berkenaan. – MalaysiaGazette
















