KUALA LUMPUR – Peruntukan kepada Ahli Parlimen tidak sepatutnya dianggap sebagai ihsan atau hadiah kerajaan kepada wakil rakyat, sebaliknya adalah hak rakyat yang memilih wakil mereka melalui proses demokrasi, kata aktivis politik, Shahir Adnan.
Menurut beliau, rakyat bukan sahaja memilih kerajaan ketika pilihan raya, malah turut memilih Ahli Parlimen pembangkang dan penduduk di kawasan berkenaan tetap berhak menerima pembangunan, bantuan serta perkhidmatan secara adil.
Beliau berkata, pengumuman tambahan RM1 juta bagi setiap kawasan Parlimen oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini juga menimbulkan persoalan mengenai mekanisme penyalurannya.
“Jika peruntukan itu benar-benar untuk rakyat, mengapa ia perlu bergantung kepada siapa yang menjadi wakil rakyat di sesuatu kawasan?
“Jangan jadikan peruntukan rakyat sebagai alat politik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shahir berkata, golongan seperti ibu tunggal, warga emas, sekolah, surau dan komuniti yang memerlukan bantuan tidak sepatutnya menjadi mangsa hanya kerana mereka memilih wakil daripada parti pembangkang.
Sehubungan itu, beliau berpandangan sudah tiba masanya kerajaan mewujudkan mekanisme peruntukan kawasan yang telus, konsisten dan sama rata tanpa mengira parti politik.
“Peruntukan asas harus diberikan secara adil kepada setiap kawasan, manakala tambahan boleh ditentukan berdasarkan keperluan seperti jumlah penduduk, kadar kemiskinan, infrastruktur dan bencana.
“Pada masa sama, setiap perbelanjaan mesti diaudit dan dipantau secara terbuka,” katanya.
Menurutnya lagi, reformasi sebenar bukan sekadar pengumuman peruntukan, tetapi mewujudkan sistem yang boleh diterima walaupun berlaku pertukaran kerajaan.
“Kerajaan hari ini mungkin berkuasa, tetapi kerajaan tidak selamanya berkuasa.
“Justeru, saya menyeru agar peruntukan Ahli Parlimen diinstitusikan sebagai satu mekanisme yang adil dan tidak dipengaruhi kepentingan politik,” ujarnya.
Shahir menegaskan, peruntukan Ahli Parlimen bukan wang kerajaan, sebaliknya wang rakyat dan hak rakyat tidak sepatutnya bergantung kepada parti yang mereka pilih. – MalaysiaGazette
















