Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said.

KUALA LUMPUR – Dakwaan UMNO mengkhianati PKR susulan perbezaan strategi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan tidak boleh dijadikan ukuran Perjanjian Kerajaan Perpaduan telah dilanggar.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerjasama politik di peringkat negeri tidak semestinya mengikuti formula gabungan politik sama peringkat Persekutuan kerana setiap negeri mempunyai mandat dan realiti politik tersendiri.

Beliau berkata, dakwaan berhubung tindakan UMNO mengkhianati PKR perlu dinilai secara tenang, bertanggungjawab dan berdasarkan fakta bukan semata-mata melalui keputusan politik di peringkat negeri.

“Malaysia ialah sebuah Persekutuan. Kerjasama politik di peringkat negeri tidak semestinya perlu menyalin hasil formula gabungan politik yang sama di peringkat Persekutuan.

“Setiap negeri mempunyai mandat dan realiti politiknya yang tersendiri dan akhirnya, rakyat di peringkat negeri juga mempunyai aspirasi masing-masing serta berhak menentukan wakil dan kerajaan pilihan mereka melalui proses demokrasi peringkat negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Azalina, perbezaan strategi atau bentuk kerjasama dalam sesuatu pilihan raya negeri tidak dengan sendirinya membuktikan Perjanjian Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan telah dilanggar.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, UMNO kekal komited terhadap kestabilan Kerajaan Persekutuan dan akan terus menghormati Perjanjian Kerajaan Perpaduan yang dimeterai selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Sebarang perbezaan yang wujud di peringkat Persekutuan perlu diurus secara matang agar tidak menjejaskan pentadbiran dan keyakinan rakyat,” katanya.

Azalina berkata, tumpuan sepatutnya diberikan kepada keupayaan Kerajaan Perpaduan melaksanakan komitmen kepada rakyat sepanjang baki penggal Parlimen Ke-15.

“Keutamaan kita mestilah memastikan Kerajaan Persekutuan terus stabil, agenda reformasi dilaksanakan dan kesejahteraan rakyat sentiasa didahulukan sehingga ke penghujung penggal,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here