Datuk Seri Dr Ahmad Maslan

MELAKA – Keputusan sama ada Barisan Nasional (BN) akan bertanding solo atau membentuk kerjasama dengan gabungan politik lain pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dijangka diketahui selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 28 Ogos ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, perkara berkenaan adalah antara yang akan dibincangkan secara serius dalam mesyuarat itu yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengambil kira kepentingan BN untuk mencapai kemenangan di Melaka.

“Pada 28 Ogos, pukul 8 malam, kita akan berbincang dengan serius dalam mesyuarat itu bagaimana mencari kemenangan di Melaka dan yang penting ialah kemenangan Barisan Nasional di Negeri Melaka.

“Setakat maklumat yang saya ada, belum ada keputusan muktamad mengenai hala tuju Negeri Melaka (PRN) ini…yang ada ialah perbincangan-perbincangan dalam media dan kenyataan beberapa orang,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pemantauan Projek Pembinaan Infra Rakyat Kementerian Kerja Raya di Seri Negeri di sini, hari ini.

Ahmad (tengah) selepas mempengerusikan Mesyuarat Pemantauan Projek Pembinaan Infra Rakyat Kementerian Kerja Raya di Seri Negeri Melaka, hari ini.

Ahmad berkata, beliau juga akan memberikan pandangan berhubung hala tuju politik BN di Melaka pada mesyuarat berkenaan, namun enggan mendedahkan pendiriannya ketika ditanya mengenai kecenderungan BN sama ada memilih untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) atau bertanding solo.

“Tentunya saya juga akan memberikan pandangan-pandangan pada Mesyuarat MKT di mana perkara-perkara besar diputuskan. Apakah cadangan saya kepada mesyuarat itu?Biarlah rahsia.

“Saya akan akur apa juga keputusan dalam Mesyuarat MKT dan saya yakin ahli-ahli MKT selalunya memberikan cadangan-cadangan yang bernas di semua mesyuarat selama ini,” katanya.

Mengulas pendekatan politik BN di negeri-negeri lain, Ahmad berkata, keputusan berhubung kaedah pilihan raya perlu mengambil kira kesesuaian berdasarkan situasi setiap negeri.

“Sebagaimana yang kita putuskan di Johor, kaedah bertanding solo sesuai dengan Johor, maka kita telah mendapat kemenangan di negeri Johor.

“Kemudian persefahaman dengan PN di Negeri Sembilan, itulah kaedah yang terbaik di Negeri Sembilan, maka apa yang berlaku di Negeri Sembilan itu menjadi pencetus kepada satu jajaran politik yang sangat menarik kepada BN.

“Adakah jajaran politik yang sangat menarik diteruskan di Melaka? Ia akan diketahui pada 28 Ogos ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here