Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi bersama Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia, Datuk Seri Hasni Mohammad dan Pengerusi Kumpulan AFA Group, Tan Sri Dr Azmil Khalili Khalid melakukan gimik pecah tanah pada Majlis Pecah Tanah Terowong Ketiga dan Pelebaran Lebuhraya KL-Karak di Gombak, Selangor. Foto SADIQ SANI, 20 OGOS 2026.

GOMBAK – Pembinaan Terowong Ketiga Genting Sempah dan Projek Pelebaran Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) di sini, yang bernilai RM2.1 bilion dijangka siap sepenuhnya pada 2030.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, projek itu ditanggung sepenuhnya oleh syarikat konsesi lebuhraya, AFA Group sebagai pihak yang menyelaras pembinaan berkenaan.

Menurutnya, ia merangkumi pelebaran daripada tiga kepada empat lorong dari Plaza Tol Gombak hingga Genting Sempah, serta daripada dua kepada tiga lorong dari Genting Sempah hingga Kilometer (KM) 64.5 di Persimpangan Mempaga, Bentong sepanjang 45.3 kilometer.

“Kerja fizikal projek ini sudah bermula pada 9 Mac lalu selaras dengan tarikh mula pembinaan (CCD) yang diluluskan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

“Dalam kontrak kita bersama AFA Group, ia dijangka siap pada 2030, tapi sebentar tadi kita diberi jaminan oleh AFA yang ia boleh siap pada 2029. Itu sangat membanggakan kerana ia ‘ahead of time‘ (lebih awal daripada jadual).

“Kita tahu betapa pentingnya projek ini untuk kita menangani masalah kesesakan selain memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya antara Lembah Klang ke Pantai Timur,” katanya.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berucap pada Majlis Pecah Tanah Terowong Ketiga dan Pelebaran Lebuhraya KL-Karak di Gombak, Selangor. Foto SADIQ SANI, 20 OGOS 2026.

Beliau berucap pada Majlis Pecah Tanah Terowong Ketiga dan Projek Pelebaran Lebuhraya KLK di sini, hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Kumpulan AFA Group, Tan Sri Azmil Khalid.

Tambah Alexander, pembinaan terowong baharu sepanjang 999 meter itu akan dibina di Genting Sempah menggunakan kaedah New Austrian Tunnelling Method (NATM) yang akan siap dalam tempoh dua tahun.

“Terowong baharu ini akan beroperasi bersama terowong Arah Barat yang dibuka pada 1978 serta terowong Arah Timur yang dibuka pada 1996.

“Dengan siapnya projek ini nanti, memang sangat membantu menampung pertambahan trafik di lebuh raya ini yang merekodkan purata lebih 135,000 kenderaan sehari sekarang, berbanding sekitar 41,000 kenderaan pada 1997,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here