Tangkap layar video seorang anggota polis mengutip paku yang ditabur pihak tidak bertanggungjawab di Cybersouth.

SEPANG – Polis sedang menyiasat dan berusaha mengesan individu yang dipercayai terlibat dalam perbuatan menabur paku di susur kiri Jejambat Cybersouth dekat sini, yang didakwa berlaku berulang kali dan boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Norhizam Bahaman berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 15 Julai lepas, selain terus menjalankan pemantauan di kawasan berkenaan bagi mengesan pelaku.

“Saya pun ada terima lagi e-mel (aduan) semalam. Pengadu mengatakan ada lagi (paku). Kita ada buat pemantauan, tetapi, semasa kita buat pemantauan, (pelaku) tidak ada.

“Saya berharap jika ada maklumat atau rakan-rakan media yang ada maklumat atau orang ramai boleh maklum kepada kita untuk diambil tindakan,” katanya kepada pemberita selepas sesi ramah mesra bersama dengan warga Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Dengkil, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 268 Kanun Keseksaan, iaitu perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain.

“Perbuatan ini berbahaya kerana di situ selekoh, kalau dia (pelaku) khianat boleh menyebabkan kemalangan,” katanya.

Beberapa orang pengguna media sosial sebelum ini berkongsi gambar dan video tentang perbuatan tersebut di kawasan terbabit, dengan mendakwa paku berukuran kira-kira dua inci itu ditabur berulang kali sejak Jun.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pihaknya turut meningkatkan pemantauan terhadap dakwaan aktiviti lumba motosikal pada awal pagi di kawasan Salak Perdana yang mengganggu ketenteraman penduduk setempat.

Norhizam berkata beliau telah mengarahkan Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Sepang untuk menjalankan pemeriksaan di kawasan berkenaan selepas menerima maklumat itu semalam.

“Kita dalam proses buat operasi sebab kita akan siasat juga jika mereka terlibat dalam penggunaan vape (rokok elektronik) yang ada bahan berbahaya,” katanya.

Beliau berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

Terdahulu, Norhizam yang turut menyertai Program Konvoi Kenderaan bersempena dengan Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang anjuran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang melepaskan konvoi kira-kira 50 kenderaan bermula dari IPD Sepang menuju ke SJKC Dengkil, sejauh 14 kilometer. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here