M. Kumar

KUALA LUMPUR – Seramai 17 kanak-kanak warga Jordan, termasuk bayi berusia tiga bulan, diselamatkan dalam Op Pintas Kasih di sekitar Bukit Bintang dan Chow Kit di sini semalam selepas dipercayai dieksploitasi untuk mengemis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, CP Datuk M. Kumar a/l S. Muthuvelu berkata, kanak-kanak berkenaan terdiri daripada lapan lelaki dan sembilan perempuan berusia antara tiga bulan hingga 14 tahun.

Dalam operasi tersebut, polis turut menahan 15 individu warga Jordan terdiri daripada tujuh lelaki dan lapan wanita berusia antara 21 hingga 49 tahun, disyaki terlibat dalam kegiatan memperdagangkan kanak-kanak bagi tujuan eksploitasi.

“Kesemua kanak-kanak berkenaan dipercayai mangsa pemerdagangan orang dan diselamatkan di bawah Seksyen 44 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 [Akta 670],” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, lima daripada 15 individu yang ditahan gagal mengemukakan dokumen perjalanan diri yang sah.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kumpulan berkenaan memasuki Malaysia secara sah menggunakan pas lawatan sosial yang membenarkan mereka berada di negara ini selama 90 hari.

“Kumpulan ini membawa kanak-kanak bagi tujuan mengemis di kawasan sekitar Kuala Lumpur dengan hasil kutipan harian dianggarkan antara RM500 hingga RM1,000 sehari,” katanya.

Polis turut merampas 14 telefon bimbit pelbagai jenama dan model, 32 pasport Jordan, empat stroller serta wang tunai pelbagai mata wang berjumlah RM24,445, AS$100, 100 euro dan 635,000 rupiah.

Kumar berkata, siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti sama ada wujud hubungan kekeluargaan antara mangsa dengan kesemua suspek yang ditahan.

“Kumpulan ini dipercayai merupakan satu kumpulan sindiket yang didalangi oleh warganegara Jordan,” katanya.

Beliau berkata, operasi itu dilancarkan Bahagian Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (D3) bersama Bahagian D6 dan D7 JSJ Bukit Aman dengan kerjasama Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (NSO MAPO), Kementerian Dalam Negeri serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuala Lumpur.

Sebanyak tujuh serbuan dilakukan di kawasan kaki lima dan enam serbuan di premis penginapan sekitar Bukit Bintang dan Chow Kit.

Kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, Seksyen 32(a) Akta Kanak-Kanak 2001 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here