KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Yuneswaran Ramaraj menggesa siasatan menyeluruh dilakukan terhadap setiap dakwaan berkaitan buli, penghinaan dan unsur perkauman yang dikaitkan dengan kematian pelajar berusia 14 tahun, Keziah Nisha.
Yuneswaran berkata, sekolah sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk anak-anak belajar dan membesar, bukannya ruang yang menyebabkan mereka takut atau terancam.
Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya tidak mahu mendahului siasatan dan menyerahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menentukan apa sebenarnya yang berlaku kepada mendiang Keziah.
Katanya, setiap dakwaan berkaitan buli, intimidasi, penghinaan atau unsur perkauman perlu disiasat sehingga ke akar umbi dan sekiranya terbukti berlaku kesalahan, tindakan tegas perlu diambil mengikut undang-undang serta peraturan ditetapkan.
“Tidak boleh ada usaha melindungi sesiapa. Tidak boleh ada budaya menyapu sesuatu kejadian di bawah karpet dan tidak boleh ada sikap menganggap kata-kata menghina seorang kanak-kanak sebagai sekadar ‘gurauan’,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Yuneswaran turut mengingatkan tragedi Allahyarhamah Zara Qairina yang menurutnya membuka mata masyarakat terhadap seriusnya isu buli dalam kalangan pelajar serta pentingnya setiap aduan murid didengar dan ditangani segera.
“Kita tidak boleh menunggu satu lagi tragedi sebelum bertindak, ini bukan soal kaum tetapi kita anak Malaysia,” tegasnya.
Katanya, tiada seorang pun anak Malaysia wajar dihina, dibuli atau direndahkan hanya kerana nama, warna kulit, bahasa, agama atau keturunan, sama ada mangsa itu Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Orang Asli atau daripada mana-mana latar belakang.
Beliau berkata, isu berkenaan juga perlu dilihat dari sudut lebih besar kerana prejudis dan kebencian bukan sesuatu yang lahir bersama kanak-kanak, sebaliknya boleh dipelajari melalui perkara yang mereka dengar, lihat dan tiru daripada persekitaran.
Sehubungan itu, katanya, tanggungjawab membendung buli dan perkauman bukan terletak kepada sekolah semata-mata, sebaliknya turut memerlukan peranan ibu bapa, keluarga, pendidik, masyarakat dan pemimpin dalam membentuk persekitaran yang sihat untuk generasi muda.
Yuneswaran berkata, setiap sekolah perlu memastikan murid berani bersuara apabila dibuli, membuat aduan tanpa takut dipersalahkan dan yakin bahawa orang dewasa akan mendengar serta bertindak.
“Tiada seorang pun anak Malaysia patut takut untuk ke sekolah kerana siapa dirinya. Sekolah mesti selamat, anak-anak mesti dilindungi, buli mesti dihentikan dan perkauman tidak mempunyai tempat dalam kehidupan anak-anak Malaysia,” ujarnya lagi. -MalaysiaGazette
















