Seorang maut manakala seorang lagi cedera selepas treler dinaiki terbabas masuk longkang di hadapan SMK Seri Lalang, Jalan Ayer Hitam, Kluang, hari ini.

KLUANG – Seorang pemandu maut manakala kelindan cedera selepas treler membawa muatan habuk kayu yang dinaiki mereka terbabas dalam longkang di Jalan Air Hitam di sini hari ini.

Kejadian yang berlaku depan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Lalang itu mengakibatkan treler berkenaan terbalik.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam, Pegawai Bomba Kanan I Ramli Said menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 1.29 petang.

Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan maut melibatkan treler terbabas bawa muatan habuk kayu

“Seramai 15 Anggota dan masing-masing sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan pacuan empat roda dari BBP Ayer Hitam dan BBP Kluang dikejarkan ke tempat kejadian sejauh 17 kilometer dari balai bomba.

“Siasatan mendapati treler berkenaan datang dari Kedah menghala ke Kluang sebelum terbabas dalam longkang. Seorang mangsa tersepit pada bahagian pemandu.

“Pasukan keluaran operasi (PKO) bertindak meminta bantuan kren untuk mengangkat kepala lori tersebut untuk memudahkan kerja-kerja mengeluarkan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

Treler dikatakan terbabas dan masuk longkang di hadapan SMK Seri Lalang, Jalan Ayer Hitam, Kluang

Beliau berkata, pemandu, A Shanmugam yang berusia 50 tahun berjaya dibawa keluar dengan menggunakan peralatan khas namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir.

Mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut manakala kelindan, G Dana Gopal yang berusia 25 tahun patah tangan.

Kemalangan menyebabkan pemandu tersepit dan maut manakala kelindan cedera dan patah tangan

Tambahnya, operasi tamat pukul 3.45 petang.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here