JOHOR BAHRU – Peruntukan pembangunan kawasan Parlimen bukan untuk kepentingan politik peribadi ahli Parlimen atau ganjaran kepada mana-mana parti.
Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse berkata, sebaliknya merupakan sumber awam yang hakikatnya milik rakyat.
Justeru Naib Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor itu berkata, peruntukan itu perlu diberikan secara adil kepada semua ahli Parlimen tanpa mengira sama ada mereka daripada kerajaan atau pembangkang.
“Ahli Parlimen mungkin datang daripada parti politik berbeza tetapi rakyat yang diwakilinya tetap rakyat Malaysia. Mereka membayar cukai yang sama dan berdepan keperluan sama seperti jalan raya, sekolah, kemudahan komuniti, kebajikan, pendidikan serta pembangunan infrastruktur,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan tambahan RM1 juta peruntukan disalurkan bagi setiap kawasan Parlimen.
Anwar dilaporkan berkata, peruntukan itu tidak disalur menerusi ahli Parlimen sebaliknya menerusi agensi bertanggungjawab untuk menyelesaikan permasalahan rakyat di kawasan masing-masing.
Mengulas lanjut, Jimmy berkata, rakyat di setiap kawasan kawasan tidak seharusnya menerima layanan berbeza dalam soal pembangunan hanya kerana memilih ahli Parlimen daripada parti pembangkang.
Katanya, menghormati demokrasi bermaksud menghormati pilihan rakyat termasuk memastikan mereka tidak dinafikan peluang pembangunan yang sewajarnya.
“Selepas pilihan raya selesai, rakyat di setiap kawasan Parlimen wajar menerima layanan yang adil daripada negara,” katanya.
Sehubungan itu, Jimmy mencadangkan kerajaan menggubal Akta Peruntukan Pembangunan Kawasan Parlimen bagi menginstitusikan sistem berkenaan serta memberikan asas perundangan yang jelas.
Beliau berkata, menerusi sistem itu, semua ahli Parlimen wajar menerima peruntukan asas yang munasabah tanpa mengira kedudukan politik manakala jumlahnya boleh diselaraskan berdasarkan faktor objektif seperti jumlah pengundi dan keluasan kawasan.
“Pada masa ini, peruntukan khas berkaitan kawasan Parlimen masih sebahagian besarnya diselaras dan diurus melalui sistem di bawah Jabatan Perdana Menteri.
“Dalam jangka panjang, sistem ini masih mempunyai ruang untuk diperbaiki kerana selagi keputusan berkaitan peruntukan banyak bergantung kepada keputusan pentadbiran, perubahan kerajaan boleh membawa kepada perubahan dasar, syarat dan kaedah pengagihan,” katanya.
Beliau berkata, sistem baharu itu juga perlu mempunyai piawaian jelas, mekanisme ketelusan serta pengawasan audit bagi memastikan pengagihan peruntukan dapat dilaksanakan secara konsisten.
“Kita perlu membina satu sistem yang tidak memerlukan pihak pembangkang berunding dengan kerajaan, tidak melibatkan pertukaran syarat politik dan tidak berubah hanya kerana berlaku pertukaran kerajaan.
“Penginstitusian peruntukan pembangunan kawasan juga akan membantu meningkatkan lagi kematangan demokrasi berparlimen negara kita,” katanya.
Jimmy menegaskan, sokongannya terhadap pemberian peruntukan pembangunan kepada semua ahli Parlimen bukan bertujuan menjaga kepentingan mana-mana ahli politik sebaliknya melindungi kepentingan pengundi.
“Ahli Parlimen boleh berada di pihak kerajaan atau pembangkang tetapi rakyat tidak seharusnya dibahagikan sedemikian,” katanya.- MalaysiaGazette
















