Rakaman imej yang diambil daripada rakaman video AFPTV pada 12 Julai 2026 menunjukkan sebuah kapal belayar berhampiran Selat Hormuz di luar pantai timur Emiriah Arab Bersatu (UAE), berhampiran Khor Fakkan.

TEHRAN – Iran akan melarang kapal yang bermusuhan dan terlibat dalam aktiviti pengintipan daripada melalui laluan perairan Selat Hormuz, kata Anggota Jawatankuasa Keselamatan Negara dan Dasar Luar Parlimen, Ebrahim Rezaei.

Menurutnya, draf rancangan itu sedang dikaji Parlimen Iran bagi menjamin keselamatan Selat Hormuz.

Dalam temu bual dengan stesen televisyen milik kerajaan, IRIB TV, Ebrahim menjelaskan, gariss panduan rancangan berkenaan pada umumnya telah diluluskan jawatankuasa tersebut.

Menurut Rezaei, rancangan itu menetapkan bahawa kapal yang dianggap bermusuhan atau terlibat dalam aktiviti pengintipan yang boleh mengancam keselamatan negara Iran tidak dibenarkan melalui Selat Hormuz.

Beliau berkata, kapal tentera atau awam Israel juga akan dilarang melalui laluan perairan tersebut, dengan penguatkuasaan akan dipantau oleh Staf Am Angkatan Tentera Iran.

Rancangan itu, katanya, turut merangkumi peruntukan mengenakan bayaran laluan dalam mata wang rial Iran atau mata wang lain, selain hukuman terhadap kapal yang melanggar peraturan.

“Jika ada pihak di bahagian lain dunia yang menjejaskan kepentingan Iran atau rakyat, kami akan berdepan dengan kerajaan berkenaan di Selat Hormuz,” katanya.

Beliau berkata, rancangan itu membolehkan tindakan seperti penyitaan kargo dan pengenaan tarif lebih tinggi terhadap kerajaan yang mengambil pendirian bermusuhan terhadap Iran.

Menurut Rezaei, Selat Hormuz kini menjadi isu keselamatan negara bagi Iran susulan serangan Amerika Syarikat dan Israel terhadap negara itu, justeru Tehran perlu mengekalkan kawalan terhadap laluan perairan berkenaan bagi mengelakkan ancaman ketenteraan.

Jawatankuasa Parlimen Iran meluluskan garis panduan umum rancangan tersebut pada awal bulan ini, lapor agensi berita IRNA. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here