KUALA LUMPUR – Seramai 112 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor dalam operasi di beberapa premis di sekitar Kajang, semalam.
Operasi menerusi Ops Belanja, Ops Minyak, Ops Mahir dan Ops Selera itu dilaksanakan bermula 9 pagi dan melibatkan seramai 20 pegawai JIM Selangor.
Timbalan Pengarah Imigresen Selangor (Kawalan), Mohmad Khusairi Kamarudin berkata, seramai 114 individu telah diperiksa dengan 112 daripada mereka ditahan disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen.
Mereka yang ditahan terdiri daripada 87 warga Bangladesh, Indonesia (13), Myanmar (lima) dan Pakistan (tujuh).
“Kesemua yang ditahan berusia antara 14 hingga 52 tahun, membabitkan 98 lelaki dan 14 perempuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohmad Khusairi berkata, siasatan awal mendapati mereka dipercayai melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen atau pas yang sah untuk berada di negara ini.
“Turut dikesan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) akta sama iaitu tinggal di Malaysia selepas tamat tempoh pas atau permit, selain Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Kesemua individu yang ditahan dibawa ke pejabat imigresen untuk tindakan lanjut dan siasatan mengikut peruntukan undang-undang berkaitan,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















