Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Sesi Temu Anwar Dan Majlis Perasmian Himpunan Anak Muda Kebangsaan (HAMKA) Antarabangsa 2026 di KSL Esplanade Hotel, Klang. Foto AIZAT ZAINAL, 20 OGOS 2026.

KUALA LANGAT – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membangkitkan persoalan serius mengenai kemerosotan prestasi beberapa institusi berkaitan Melayu termasuk Felda, yang pernah diurus secara cekap sehingga mampu menjana keuntungan berbilion ringgit.

Anwar berkata, beliau kini mengambil tanggungjawab menjaga Felda dan mahu memastikan institusi berkenaan kembali berada pada landasan yang kukuh.

“Felda pernah mencatat prestasi baik akhirnya berdepan kerugian besar mencecah sekitar RM10 bilion.

“Ia bukan berpunca daripada ketidakmampuan bangsa Melayu mengurus aset sendiri.

“Sebaliknya campur tangan politik dan keputusan pengurusan yang dipersoalkan boleh membawa kesan besar,” katanya ketika sesi Temu Anwar sempena Himpunan Anak Muda Kebangsaan (HAMKA) Antarabangsa 2026, di sini, hari ini.

Beliau turut mengaitkan isu tersebut dengan beberapa keputusan pembelian aset termasuk pembelian hotel yang didakwa dibuat pada harga sekitar RM160 juta sebelum dicadangkan untuk dijual pada harga kira-kira RM100 juta.

“Beli RM160 juta, jual RM100 juta. Macam mana saya nak tandatangan?” soalnya.

Menurut Anwar, sebagai menteri kewangan beliau tidak boleh meluluskan sesuatu keputusan sekiranya terdapat persoalan terhadap harga dan tatakelola transaksi.

“Persoalan utama bukan siapa yang membuat keputusan pada masa lalu, tetapi siapa yang perlu menanggung kesannya pada masa ini,” katanya.

Anwar turut menolak dakwaan tindakan kerajaan menyemak kembali keputusan lama merupakan usaha membalas dendam terhadap pentadbiran terdahulu.

“Sekiranya keputusan lama mempunyai implikasi kewangan kepada kerajaan dan rakyat pada hari ini, ia tetap perlu diteliti.

“Yang kena bayar ini sekarang,” katanya.

Anwar berkata, kerajaan perlu memulihkan semula institusi-institusi strategik yang berkaitan dengan kepentingan orang Melayu dan rakyat.

“Kalau ada pelanggaran tatakelola, siasat,” katanya.

Katanya lagi, prinsip berkenaan perlu diterapkan tanpa mengira siapa yang terlibat atau dari zaman pentadbiran mana sesuatu keputusan itu dibuat.

“Agenda pembaharuan institusi tidak seharusnya dilihat sebagai usaha memusuhi Melayu, sebaliknya sebagai langkah menyelamatkan aset dan institusi yang menjadi kepentingan masyarakat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here