KUALA LUMPUR – “Saya dah penat, tak larat dah”, demikian pengakuan jujur dari pengamal perubatan Dr Rafidah Abdullah yang mengambil keputusan bersara awal daripada perkhidmatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Membongkar detik penghijrahan tersebut, Dr Rafidah berkata, beban kerja yang melampau, panggilan tugas (on-call) tanpa henti serta pelbagai tekanan luaran dan dalaman menjadi kemuncak kepada keputusannya untuk melangkah keluar selepas berkhidmat lebih 27 tahun.
“Saya mahu terus bercakap mengenainya (KKM) adalah salah satu sebab, tetapi bukan sebab utama. Saya dah penat sebenarnya, tak larat dah.
“Boleh bayangkan kalau on-call 24 jam, telefon tak berhenti bunyi… mampu ke tak mampu?” katanya menerusi program podcast MalaysiaGazette.

Beliau turut berkongsi detik emosi yang menyentuh hati apabila keputusan bersara itu disifatkan seperti mendapat ‘petunjuk’ ketika beribadah di Masjid Negara pada bulan Ramadan tahun lalu, sejurus sebelum ujian berat melanda keluarganya.
“Semasa solat dekat Masjid Negara 15 Ramadan tahun lepas, datang satu ‘bisikan’ cakap, ‘Rafidah, cukup… pencenlah’.
“Saya tak terfikir pun sebab saya bukan jenis nak pencen awal, pencen wajib pun umur 60 tahun.
“Seminggu selepas itu, ayah saya jatuh sakit dan disahkan kanser. Pada hari yang sama juga, saya dapat surat ‘jemputan’ ke unit integriti, jadi hari itu saya cakap, enough is enough. Saya teringat bisikan di Masjid Negara,” luahnya.
Beliau akhirnya mengemukakan surat persaraan awal enam hari selepas hari pemergian arwah ayahnya.
Tidak hanya itu, tindakan lantangnya menyuarakan hak dan isu kebajikan petugas barisan hadapan sebelum ini turut menyebabkannya sentiasa menjadi sasaran pelbagai tindakan tatatertib, laporan polis, hingga ancaman ugutan bunuh.
“Sepanjang perjuangan ini, saya telah menerima banyak laporan polis, ancaman tindakan tatatertib, ‘jemputan’ ke unit integriti dan sentiasa tidak disenangi ramai orang atasan.
“Alah… kena ugut tu biasa. Apa yang saya keluarkan di media sosial dulu baru lima peratus sahaja! Tapi apa yang penting, ALLAH SWT ada dan saya buat semua ini untuk bantu orang lain,” tegasnya.
Dr Rafidah menambah, walaupun sudah berada di luar sistem KKM, beliau tidak akan pernah berdiam diri, sebaliknya memilih untuk terus menjadi ‘benteng’ dan suara kepada doktor serta jururawat yang disenyapkan oleh sistem.
“Selepas bersara, saya rasa tak perlu kerja untuk sistem itu lagi.
“Baik saya habiskan masa untuk tolong orang dan buat apa yang saya suka. Perjuangan ini akan tetap diteruskan.
“Tapi saya akan terus membantu rakan-rakan saya di dalam, merka tidak boleh bersuara jadi saya akan bantu sedaya saya,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Rafidah berkata, setiap kritikan atau teguran untuk KKM bukan bertujuan untuk menjatuhkan atau membuka aib tetapi adalah rasa tanggungjawab bagi memastikan sistem di Kementerian itu akan menjadi lebih baik.
“Saya lihat, sekarang ni macam nak jadi macam dulu-dulu balik ni, banyak perkara yang tak dibuat dengan betul yang mana tekanan dirasai oleh petugas barisan hadapan.
“Kalau tidak ada yang menegur, lagi ramai yang akan sakit mental kerana tekanan yang diterima sangat berat,” ujarnya. -MalaysiaGazette
















