Arthur Joseph Kurup

 

KUALA LUMPUR – Malaysia menerusi Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menegaskan komitmen berterusan untuk mencapai aspirasi ASEAN Bebas Jerebu menjelang 2030 menerusi pelaksanaan berkesan Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (AATHP).

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, berkata, pendirian itu telah disampaikan menerusi utusan rasmi kepada Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn pada 21 Ogos lalu.

Menurutnya, pemantauan kementerian terhadap perkembangan meteorologi semasa mendapati keadaan cuaca kering berterusan di kawasan selatan ASEAN menyebabkan peningkatan aktiviti titik panas dan jerebu.

“Keadaan ini berisiko menjadi lebih meluas berikutan fenomena El Niño yang dijangka beransur menguat dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

“Walaupun kejadian kebakaran ketika ini masih terkawal dalam sempadan negara anggota ASEAN masing-masing, risiko jerebu merentas sempadan menuntut kesiapsiagaan kolektif serta kewaspadaan tinggi di peringkat serantau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pencemaran jerebu merentas sempadan akibat kebakaran tanah dan hutan perlu ditangani secara kolektif menerusi tindakan pencegahan, kesiapsiagaan nasional dan pemantauan berterusan berteraskan prinsip AATHP.

Katanya, intervensi awal, pertukaran maklumat tepat serta koordinasi serantau yang erat merupakan elemen penting dalam menangani isu jerebu secara berkesan.

Sehubungan itu, Arthur menggesa semua negara anggota ASEAN meningkatkan kawalan dan kesiapsiagaan dengan memantau kawasan berisiko tinggi, mempertingkat pengawasan titik panas serta memperkukuh penguatkuasaan terhadap larangan pembakaran terbuka.

“Semua negara anggota juga perlu memastikan kesiapsiagaan operasi pemadaman kebakaran yang efisien bagi mengelakkan insiden daripada terus merebak,” katanya.

Dalam pada itu, Malaysia mengalu-alukan peranan proaktif Sekretariat ASEAN selaku Pusat Koordinasi ASEAN Sementara bagi Kawalan Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (ACC THPC) dalam memudah cara penyebaran maklumat dan menyelaras langkah kesiapsiagaan antara negara anggota.

Malaysia, katanya, yakin komitmen padu dan tindakan proaktif semua negara anggota ASEAN mampu memperkukuh ketahanan serantau dalam menghadapi cabaran iklim serta memelihara alam sekitar yang mampan, sejahtera dan bebas jerebu demi kesejahteraan generasi kini dan akan datang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here