MELAKA – Program Ajak Sekampung Santuni Madani yang berlangsung di Kampung Alai di sini hari ini bukan sekadar pesta keramaian biasa.
Ia juga menjadi platform menghidupkan semula nostalgia masakan tradisional orang Melayu silam berasaskan ikan betok.
Pengerusi Jawatankuasa Induk Program Ajak Sekampung Santuni Madani, Datuk Akramudin Abdul Aziz berkata, idea memartabatkan semula masakan acar darat ikan betok itu direalisasikan menerusi pertandingan memasak pada program berkenaan.
Masakan ikan darat itu jelasnya, semakin tidak dikenali dalam generasi muda.
“Memang ramai generasi muda sekarang tidak kenal masakan ini apatah lagi untuk memasaknya.

“Sejarah makanan tradisional ini ialah suatu ketika dahulu selepas menuai padi penduduk kampung akan menangkap ikan betok di sawah yang sudah kering dan memasaknya untuk dijadikan hidangan sekeluarga.
“Kita dari DUN Telok Mas ini akan cuba mempopularkan masakan ikan betok yang sudah dilupakan ini,” katanya.
Akramuddin ditemui pemberita pada Program Ajak Sekampung Santuni Madani di padang Sekolah Kebangsaan Alai, di sini.

Program itu disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.
Hadir sama, Naib Canselor UPNM, Datuk Arman Rumaizi Ahmad.
Usaha memartabatkan semula masalah tradisional ikan betok itu disokong salah seorang peserta pertandingan memasak, Sabariah Jami Ahmad, 64.

“Kalau boleh kita mahu memperkenalkan semula masakan ini kepada golongan muda agar makanan ini tidak pupus.
“Itu sebab kita menggalakkan golongan muda menyertai pertandingan ini,” katanya.
Sementara itu, beberapa pengunjung yang ditemui menganggap program Ajak Sekampung Santuni Madani itu antara yang terbaik pernah dianjurkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas.
Menurut seorang peniaga, Kuzairi Kamaruddin, 28, sebagai peniaga, program seumpama itu dapat merancakkan lagi perniagaan air balangnya.

“Memang best. Banyak aktiviti diadakan di sini. Pengunjung pun ramai sekali gus melariskan perniagaan air balang saya,” katanya.
Seorang pesara, Mohd. Norizam Abdul Majid, 74, mahu program sedemikian terus diadakan pada masa akan datang kerana mampu mengeratkan ukhwah penduduk setempat.

Seorang surirumah, Nabila Husna Md Hanafi, 27, berkata, program bersifat kekeluargaan itu memberi peluang kepadanya membawa anak-anaknya beriadah pada hujung minggu. – MalaysiaGazzette
















