KUALA LUMPUR – Formula situasi menang-menang perlu diamalkan Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) demi kesinambungan kerjasama kedua-dua gabungan parti pada masa depan.
Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, kerjasama itu perlu berteraskan kepercayaan dan keikhlasan selain turut memerlukan waktu untuk mencapai tujuan tersebut.
“Untu mencapai situasi win-win, ia sudah tentu memerlukan masa, kepercayaan dan perbincangan yang jujur serta ikhlas antara pimpinan.
“Ini adalah untuk kebaikan jangka panjang,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pusat Gerakan di sini hari ini.

Mengulas pendirian BN yang berhasrat mengekalkan 21 kerusi tradisi mereka di Melaka, Dominic berkata, mana-mana parti berhak mempertahankan kerusi yang ditandingi apatah lagi mereka penyandang kerusi terbabit.
Malah amalan dan formula sedia ada juga memberi keutamaan kepada penyandang kerusi namun pintu rundingan masih terbuka luas bergantung kepada faktor taburan pengundi.
“Proses rundingan masih boleh diteruskan dan kita yakin pimpinan mempunyai kebijaksanaan untuk menyelesaikan perkara ini demi kebaikan BN dan PN,” katanya. – MalaysiaGazette
















