Polis Di Raja Malaysia (PDRM).

KUALA LUMPUR – Seorang kanak-kanak lelaki yang hilang ketika menyertai sebuah program tahfiz, meninggal dunia awal pagi ini selepas ditemukan lemah dalam sebuah kolam air berhampiran sebuah pusat yayasan di Kampung Kapal, Lenggeng, Negeri Sembilan.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya, berkata pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan mangsa berusia 11 tahun itu pada 12.28 tengah malam, sebelum operasi pencarian dijalankan dengan kerjasama pihak berkaitan di sekitar kawasan kejadian.

“Mangsa ditemukan di dalam sebuah kolam air berhampiran lokasi kejadian dalam keadaan lemah dan bantuan pernafasan diberikan kepada mangsa, sebelum pemeriksaan lanjut dilakukan.

“Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan daripada Klinik Kesihatan Lenggeng,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar untuk bedah siasat dan siasatan masih diteruskan, bagi menentukan kronologi serta keadaan sebenar kejadian termasuk meneliti sama ada terdapat sebarang unsur kecuaian atau faktor lain yang berkaitan.

Johari berkata klasifikasi kes akan ditentukan berdasarkan keseluruhan hasil siasatan dan laporan bedah siasat.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan serta menghormati privasi keluarga mangsa.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian, diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan IPD Nilai menerusi talian 06-7904222 atau mana-mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here