Dina Kimmel (kiri) dan Nori Abdullah ketika memperkenalkan We Rock The Spectrum (WRTS) Kid’s Gym. Foto ihsan WRTS.

KUALA LUMPUR – Kanak-kanak autisme dan mereka yang mempunyai pelbagai tahap keupayaan kini berpeluang melakukan aktiviti fizikal dengan lebih selamat di gimnasium tertutup, We Rock The Spectrum (WRTS) Kid’s Gym Taman Desa, di sini.

WRTS dalam kenyataan hari ini berkata, gimnasium itu direka khusus bagi membolehkan kanak-kanak merasai pengalaman aktiviti yang kaya dengan rangsangan deria dan melibatkan pergerakan fizikal dalam persekitaran yang selamat, bersih serta terkawal.

Menurut kenyataan, majlis perasmiannya disempurnakan hari ini dan merupakan francais gimnasium dalaman antarabangsa yang selamat dari segi deria dengan lebih daripada 100 lokasi di seluruh dunia merangkumi 35 negeri dan lapan negara.

“Setiap gimnasium dilengkapi dengan 12 jenis peralatan terapeutik yang direka untuk menyokong kanak-kanak autisme serta mereka yang mempunyai keperluan deria dan perkembangan yang lain.

“Ia menggalakkan pembelajaran, perkembangan, pergerakan dan aktiviti bermain bagi kanak-kanak dengan pelbagai tahap keupayaan,” demikian menurut kenyataan.

Katanya, penggunaan kebanyakan peralatan dapat memberikan input vestibular dan proprioseptif serta membantu menguatkan bahagian atas badan dan otot teras.

Menurut kenyataan, lokasi tersebut turut menawarkan kelas, kem harian kanak-kanak, aktiviti seni dan kraf serta pelbagai aktiviti permainan yang lain.

Kenyataan turut menyebut, pemilik We Rock The Spectrum Malaysia, Nori Abdullah dan keluarga mendapat idea untuk mewujudkan gimnasium itu selepas kunjungan mereka ke Los Angeles, Amerika Syarikat pada 2015.

“Anak kedua menghidap autisme dan beliau mencari pengalaman untuk melakukan aktiviti keluarga yang sesuai untuk semua anaknya di Los Angeles dan menemukan WRTS.

“Walaupun terdapat banyak tempat permainan kanak-kanak di Malaysia, beliau melihat keperluan bagi sebuah ruang yang direka khusus untuk mengalu-alukan kanak-kanak dengan pelbagai tahap keupayaan, terutamanya mereka yang mempunyai keperluan deria dan perkembangan yang berbeza,” ujar kenyataan.

Katanya, Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) di United Kingdom menyatakan bahawa senaman boleh membantu kanak-kanak mengawal emosi, meningkatkan tumpuan, mengurangkan hiperaktiviti, memperbaiki mood dan keyakinan diri, serta membantu mereka menangani situasi apabila berasa terlebih rangsangan atau tertekan.

Oleh itu, penyediaan ruang yang mesra, di mana kanak-kanak boleh aktif mengikut kemampuan dan rentak mereka sendiri, mampu membawa perubahan yang bermakna kepada sesebuah keluarga.

Menurut kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas WRTS, Dina Kimmel membuka gimnasium pertama di Tarzana, California selepas anaknya didiagnosis dengan autisme dan beliau menghadapi kesukaran mencari tempat yang selamat untuk anak lelaki dan anak perempuannya bermain bersama-sama.

Katanya, keluarga dengan ahli yang mempunyai kepelbagaian neuro (neurodiverse) di negara ini boleh mengakses pergerakan, aktiviti bermain dan penyertaan boleh menjadi satu lagi cara untuk anak-anak mereka menikmati masa bersama kanak-kanak lain.

“We Rock the Spectrum Kid’s Gym mahu keluarga berasa selesa dan yakin dengan mengetahui wujudnya tempat yang mesra, di mana anak mereka yang mempunyai kepelbagaian neuro boleh berseronok, meneroka dan menjadi diri sendiri tanpa perlu dipisahkan daripada adik-beradik atau rakan-rakan yang berkembang secara tipikal,” demikian menurut kenyataan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here