Abdul Rauf Yusoh menyerahkan rumah baharu kepada Ishak Alin pada program Ketua Menteri Sayang Rakyat di Kampung Bukit Bulat, Melaka hari ini.

ALOR GAJAH – Keceriaan terpancar di wajah seorang bekas tentera apabila rumah sendiri yang diidamkan selama ini tersergam di depan mata.

Lebih manis lagi, rumah impiannya di Kampung Bukit Bulat di sini dimiliki ketika negara bakal menyambut Hari Kebangsaan tidak lama lagi.

Bekas anggota Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Ishak Alin, 66, berkata, selama ini dia menumpang di rumah adiknya di kampung yang sama selepas kematian isteri enam tahun lalu.

Ishak yang tinggal bersendirian merasa amat terharu dan berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Melaka yang membina rumah berkenaan menerusi Program Melaka Rumahku, Lembaga Perumahan Melaka (LPM).

Rumah baharu itu dibina di atas tanah pusaka miliknya yang terletak kira-kira 50 meter dari kediaman adiknya.

“Saya sangat gembira kerana akhirnya mendapat rumah sendiri. Selama ini saya menumpang di sebuah bilik kecil di rumah adik yang terletak bersebelahan.

“Memang saya tidak sangka akan menerima rumah ini, lebih-lebih lagi menjelang sambutan Hari Kebangsaan,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan rumah berkenaan di Kampung Bukit Bulat di sini hari ini.

Penyerahan rumah itu disempurnakan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sempena Program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya.

Bapa kepada dua anak perempuan itu memberitahu, dia tidak tinggal bersama anaknya kerana kesemua mereka menetap di Negeri Sembilan.

Menurutnya, seorang daripada anak perempuannya sudah mendirikan rumah tangga, manakala seorang lagi masih belum berkahwin.

Ishak menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM600, selain sumbangan kewangan daripada anak-anaknya setiap bulan bagi menampung keperluan hariannya.

Turut menerima bantuan perumahan di bawah program sama, seorang warga emas, Rosiah Mansor, 64, dari Kampung Jus di sini.

Abdul Rauf Yusoh menyantuni Rosiah Mansor yang menerima bantuan baik pulih dan Bina Baharu pada program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat di Alor Gajah hari ini.

Menurut anaknya, Engku Azlina Tengku Azhar, 40, di bawah program Melaka Rumahku LPM akan membaiki pulih dan membesarkan saiz rumahnya yang kini hanya mempunyai dua bilik tanpa ruang tamu.

“Difahamkan pihak LPM akan membina sebuah lagi bilik tidur dan ruang tamu yang boleh memberi lebih keselesaan kepada kami tujuh beranak yang tinggal di rumah ini,” katanya.

Dia kini terpaksa hidup ‘berhimpit’ di dalam rumah itu bersama ibu, suami dan empat anaknya yang masih kecil sejak 10 tahun lalu.

“Saya amat terima kasih kepada Ketua Menteri kerana memberikan rumah ini untuk saya duduki. Saya bersyukur kepada Allah atas rezeki ini dan berdoa semoga urusan semua pihak yang membantu dipermudahkan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here