KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berhubung aduan mengenai isu kecukupan korum mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu.
Bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Marzuki Mohamad mendakwa, persoalan mengenai kesahan sesebuah pertubuhan sepatutnya dirujuk kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) bukannya Bersatu.
Menurutnya, hanya ROS mempunyai kuasa untuk menentukan sama ada sesebuah pertubuhan itu sah di sisi undang-undang.
“Setiausaha Agung PN sepatutnya mendapatkan penjelasan daripada ROS bukan daripada Bersatu berhubung perkara berkenaan kerana hanya ROS yang mempunyai kuasa untuk menentukan sama ada sesebuah pertubuhan adalah sah di sisi undang-undang,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Marzuki berkata, sehingga kini, Bersatu juga tidak menerima sebarang notis daripada ROS berhubung isu kecukupan korum MPT parti itu.
Sehubungan itu, katanya, pada ketika mesyuarat Majlis Tertinggi PN diadakan pada 16 Julai lalu, Bersatu masih merupakan pertubuhan yang sah di sisi undang-undang dan anggota PN yang sah.
Lebih penting, beliau berkata, kedudukan itu turut diakui Pengerusi PN menerusi kenyataannya kepada media pada 9 Ogos lalu.
“Justeru, Bersatu berhak dijemput menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai 2026 dan kegagalan menjemput Bersatu menghadiri mesyuarat tersebut adalah suatu pelanggaran Perlembagaan PN yang serius,” katanya.
Marzuki turut menegaskan, MPT Bersatu telah menggunakan kuasanya di bawah Fasal 27 Perlembagaan Bersatu untuk mentafsirkan isu kecukupan korum mesyuarat MPT parti berkenaan.
Katanya, tafsiran yang dibuat MPT Bersatu itu adalah muktamad, sekali gus menolak sebarang cubaan pihak lain untuk mempersoalkan kedudukan parti berkenaan berdasarkan tafsiran mereka sendiri.
“Bersatu sehingga kini tidak menerima apa-apa notis daripada ROS berhubung isu cukup korum MPT Bersatu.
“Justeru, pada masa mesyuarat Majlis Tertinggi PN diadakan pada 16 Julai 2026 sehingga kini, Bersatu adalah sebuah pertubuhan yang sah dan anggota PN yang sah,” katanya. – MalaysiaGazette
















