Sebahagian para peserta yang terlibat melakukan perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68 bertemakan “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni” ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Dataran Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 31 OGOS 2025.

Oleh: Dr. Ridzwan Ahmad

BERADA di ambang akhir bulan Ogos sering kali mengimbau memori kebebasan tanah air daripada rantaian penjajahan. Namun, bagi kalendar umat Islam di penghujung bulan ogos 2026 ini, denyut jantung kita digetarkan lebih awal dengan kehadiran hari keputeraan junjungan agung, Nabi Muhammad SAW pada hari selasa, sebelum disusuli dengan laungan Merdeka pada isnin minggu hadapan. Dua sambutan ini meletakkan kita di persimpangan muhasabah yang mendalam.

Muhasabahnya, kemerdekaan fizikal yang kita nikmati hari ini adalah sebuah nikmat, tetapi mengekalkannya memerlukan acuan moral yang kukuh. Di sinilah kita perlu menoleh kembali kepada sirah kepimpinan Baginda SAW, bukan sekadar untuk dikagumi secara kosmetik, tetapi untuk dijadikan kompas moral bagi memimpin diri, keluarga dan negara ke arah kebebasan yang hakiki.

Sebagai sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai Agama Persekutuan, adalah satu kerugian besar jika kita menyambut kedua-dua hari bersejarah ini tanpa menilai sejauh mana gaya kepimpinan di sekeliling kita benar-benar mendekati acuan Nabawi. Sebelum dilantik menjadi Rasul, Nabi Muhammad SAW sudah pun memegang gelaran al-Amin, iaitu individu yang sangat dipercayai dan amanah. Gelaran ini bukan satu strategi imej atau penjenamaan bermusim, tetapi ia adalah pengiktirafan masyarakat marhaen terhadap keperibadian tulen Baginda. Di sinilah titik refleksi utama kita.

Dalam dunia moden yang serba kompetitif, kita kadang-kadang terperangkap dalam budaya ‘tanam tebu di pinggir bibir’—bijak menyusun kata dan janji, namun culas dalam pembuktian. Integriti tidak boleh hanya menjadi slogan indah di atas banner atau hantaran media sosial. Apabila amanah mula dipandang ringan, sistem sesebuah organisasi atau negara akan mula rapuh dari dalam.

Kemerdekaan sejati bukan semata-mata bebas daripada cengkaman penjajah fizikal, tetapi kebebasan jiwa dan tadbir urus daripada sebarang rantaian pecah amanah yang merugikan rakyat dan negara. Namun, menuding jari kepada barisan kepimpinan semata-mata tanpa melihat cermin diri adalah satu ketidakadilan dalam proses pembinaan negara.

Sejarah Islam merakamkan satu dialog yang sangat tajam apabila seorang rakyat daripada golongan Khawarij bertanya kepada Saidina Ali bin Abi Thalib mengenai keadaan negara yang bergolak. Lelaki itu bertanya kenapa zaman pemerintahan Saidina Ali tidak seaman dan sedamai zaman Khalifah Abu Bakar dan Umar al-Khattab.

Maka, dengan penuh hikmah Saidina Ali menjawab: "Kerana pada zaman Abu Bakar dan Umar, rakyatnya adalah orang-orang seperti aku. Manakala pada zaman aku, rakyatnya adalah orang-orang seperti kamu." Jawapan ini memukul kesedaran kita kualiti sesebuah negara merdeka adalah refleksi dua hala; pemimpin yang adil memerlukan sokongan rakyat yang berakhlak, bukannya masyarakat yang hanya tahu mengkritik tetapi culas dalam melaksanakan tanggungjawab sivik dan moral.

Apabila memperkatakan tentang kepimpinan, sejarah Islam merakamkan bagaimana para sahabat besar seperti Sayidina Abu Bakar dan Umar Al-Khattab menangis gerun serta gundah apabila memikul jawatan khalifah. Mereka melihatnya sebagai satu akauntabiliti yang sangat berat untuk dijawab di akhirat kelak, bukannya sebuah trofi kemenangan.

Rasulullah SAW sendiri memberi peringatan keras tentang nasib pemimpin di akhirat kelak melalui sabda Baginda: “Tidaklah seseorang yang Allah SWT amanahkan kepadanya untuk memimpin suatu rakyat, lalu dia tidak menjaga mereka dengan penuh nasihat dan amanah, melainkan dia tidak akan mencium bau syurga”.

Dalam Islam pemimpin adalah khadam kepada rakyatnya. Mereka mesti berjiwa khidmat. Falsafah kepimpinan berjiwa khidmat (servant leadership) inilah yang perlu disuburkan kembali dalam sanubari masyarakat kita. Pemimpin, di mana-mana peringkat sekalipun, perlu mengelakkan diri daripada menganggap jawatan sebagai satu keistimewaan feudal yang meletakkan diri mereka di atas kayangan.

Ulama muktabar dalam bidang siyasah syariyyah, Imam al-Mawardi menegaskan di dalam kitab al-Ahkam al-Sultaniyyah bahawa “kepimpinan itu diletakkan sebagai peganti kepada peranan kenabian dalam menjaga urusan agama dan mentadbir urusan dunia”. Apabila kedudukannya dipandang sebagai tugasan suci untuk memelihara maslahat umum, maka tiada ruang lagi untuk pemimpin bertindak egoistik atau menjadi seperti ulat lupakan daun sebaik sahaja mendapat kedudukan.

Apabila pemimpin meletakkan kebajikan rakyat sebagai keutamaan tertinggi, turut merasai denyut nadi dan kesusahan mereka yang sedang bergelut dengan kos sara hidup, maka rantaian amanah itu akan berjalan dengan penuh berkat tanpa timbulnya persepsi harapkan pegar, pagar makan padi dalam institusi masyarakat kita.

Hakikatnya memperingati kelahiran Rasulullah SAW di ambang sambutan kemerdekaan negara adalah seruan untuk memugar kembali institusi kepimpinan di semua peringkat mengikut acuan Nabawi. Selawat yang kita alunkan tidak akan mengubah nasib watan jika prinsip al-Amin yang dibawa Baginda tidak diterjemahkan ke dalam watak kepimpinan kita.

Kemerdekaan fizikal tanah air sudah lama selesai diusahakan oleh generasi terdahulu. Kini tugas kita hari ini adalah memerdekakan minda dan cara kita memimpin daripada acuan kepentingan peribadi, sebaliknya beralih kepada acuan Nabawi yang murni. Apabila setiap daripada kita—daripada pembuat dasar negara sehinggalah kepada ketua keluarga di rumah—mula memimpin dengan nilai kebenaran, Malaysia akan kekal menjadi sebuah negara yang merdeka, berdaulat dan diberkati.

Sebuah negara yang merdeka tanpa dipandu oleh kepimpinan yang berakhlak Nabawi serta rakyat yang bertanggungjawab hanya akan melahirkan masyarakat yang keliru dan tempang. Sambutan Maulidur Rasul dan Hari Kebangsaan yang hadir serentak minggu ini adalah peluang keemasan untuk kita membersihkan takhta kepimpinan daripada debu-debu kepentingan peribadi, sekaligus mendidik jiwa rakyat agar saling bersatu padu dan cintakan kedamaian dan kehidupan yang harmoni.

Marilah kita merdekakan minda kita dengan meletakkan sunnah Rasulullah SAW sebagai panduan tertinggi. Apabila nilai amanah dan rahmah Baginda mengalir dalam urat nadi para pemimpin dan rakyatnya, barulah kemerdekaan Malaysia akan menjadi sebuah kemerdekaan yang bernyawa, subur dengan keberkatan dan dilindungi daripada sebarang bentuk penjajahan zaman moden.

Memperingati kelahiran Rasulullah SAW di ambang sambutan kemerdekaan negara adalah seruan untuk memugar kembali institusi kepimpinan di semua peringkat mengikut acuan Nabawi. Semoga gabungan barakah Maulidur Rasul dan semangat Hari Kebangsaan tahun ini mampu memerdekakan jiwa kita untuk membina sebuah Malaysia yang bukan sahaja maju fizikalnya, tetapi diredai oleh Allah SWT. Selamat Menyambut Maulidur Rasul dan Selamat Hari Kebangsaan.

Penulis dari Jabatan Fiqh-Usul Dan Sains Gunaan
Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here