KUALA LUMPUR – Pasukan khas bagi menggerakkan agenda penubuhan Hospital MARA sudah dimulakan sebagai usaha membangunkan hospital pengajar, pusat kecemerlangan kesihatan serta pemangkin ekonomi bumiputera.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, institusi itu mempunyai ekosistem kesihatan yang lengkap untuk merealisasikan penubuhan hospital berkenaan.
Beliau berkata, ekosistem itu merangkumi 160 cawangan U.n.i Klinik, U.n.i Farmasi dan U.n.i Dental, selain Universiti Kuala Lumpur Royal College of Medicine Perak (UniKL RCMP) yang melahirkan tenaga profesional dalam bidang kesihatan.
Katanya, hospital berkenaan juga boleh melengkapkan keperluan latihan klinikal dan pengalaman hospital pengajar bagi pelajar UniKL RCMP.
“Hospital MARA boleh menjadi tempat semua komponen ini bertemu, termasuk pendidikan perubatan, TVET, kejuruteraan, teknologi, keusahawanan, pembiayaan dan jaringan industri,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Menurutnya, program sains biomedikal di UniKL MESTECH serta bidang teknologi di kampus UniKL lain juga boleh disepadukan dalam ekosistem Hospital MARA.
Beliau berkata, hospital berkenaan berpotensi menjadi living laboratory untuk pelajar dan penyelidik MARA, termasuk pembangunan teknologi peralatan dan sistem hospital, kecerdasan buatan (AI), Internet of Things (IoT), robotik serta peranti perubatan.
Tambahnya, rangkaian 160 cawangan U.n.i Klinik, U.n.i Farmasi dan U.n.i Dental di bawah program ProSPEC pula boleh menjadi jaringan penjagaan kesihatan barisan hadapan bagi melengkapkan ekosistem berkenaan.
Asyraf berkata, Hospital MARA merupakan kesinambungan mandat institusi ini dalam membangunkan modal insan, keusahawanan dan pemilikan strategik bumiputera dalam industri kesihatan.
Beliau berharap inisiatif penubuhan hospital tersebut yang dimulakan itu dapat direalisasikan pada masa akan datang, walaupun bukan ketika beliau masih memegang jawatan sebagai Pengerusi MARA. – MalaysiaGazette
















