KULAI – Lapan lelaki termasuk seorang influencer permotoran disyaki terlibat menutup jalan dan menahan kereta untuk berlumba haram di Lebuhraya Linkedua di sini Sabtu lalu direman selama empat hari bagi membantu siasatan.
Perintah reman terhadap mereka yang berusia antara 26 hingga 45 tahun itu bermula hari ini sehingga Khamis ini, dikeluarkan Majistret R Salini selepas mendapat permohonan daripada polis mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.
Tindakan ini membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan mengikut Seksyen 81 (1), Seksyen 81(2), Seksyen 81 (3) dan 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, trak polis yang membawa kesemua suspek berkenaan tiba di pekarangan Mahkamah Majistret di sini pasa pukul 8.30 pagi.
Kesemua suspek memakai topeng muka dengan dua daripada mereka termasuk pempengaruh berkenaan memakai hoodie bagi mengelak daripada dirakam.

Semalam, Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, kesemua suspek ditahan pukul 11.45 pagi semalam oleh sepasukan anggota dan pegawai dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai.
Video tular berdurasi 33 saat itu memaparkan aksi dua penunggang motosikal sedang berlumba haram di lebuh raya berkenaan kira-kira pukul 7 pagi.
Kejadian dipercayai berlaku di Kilometer 33, susur tol Senai Utara hingga Kilometer 31, susur Johor Premium Outlet.
Rakaman turut memaparkan beberapa individu ‘menutup’ jalan di lebuh raya berkenaan bagi memberi laluan kepada perlumbaan
Suspek turut membakar mercun bagi meraikan tamatnya perlumbaan selain beberapa individu termasuk pempengaruh berkenaan dilihat berada pada bahu jalan selepas perlumbaan itu berakhir.- MalaysiaGazette
















