KOTA KINABALU – Polis memohon bantuan orang ramai untuk mengesan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang dilaporkan hilang selepas tidak ditemui di kawasan sekolahnya di Inanam.
Remaja berkenaan, Muhammad Muaz Furqan Hashrul, merupakan pelajar SMK Kelombong, Inanam dan beralamat di Taman Vista Seri Melalin, Mengkabong, Tuaran.
Menurut polis, kehilangan mangsa disedari kira-kira 1.30 tengah hari apabila ibunya hadir menjemputnya pulang dari sekolah, namun mendapati mangsa tiada di kawasan sekolah.
Usaha mencari mangsa di sekitar Inanam termasuk bertanyakan rakan-rakannya turut dilakukan, namun gagal menemui remaja berkenaan.
Mangsa juga dilaporkan tidak mempunyai telefon bimbit ketika kejadian.
Muhammad Muaz mempunyai ciri fizikal berkulit hitam manis, muka bulat, kening tebal serta bibir dan mata kecil.
Mangsa mempunyai rambut pendek berwarna hitam dan kali terakhir dilihat memakai pakaian seragam sekolah.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan mangsa diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, SM DK Rosmah Pg Hashim di talian 011-3167 7612.
Maklumat juga boleh disalurkan kepada Hotline IPD Kota Kinabalu di 088-221 191 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Kerjasama dan keprihatinan orang ramai amat dihargai bagi membantu usaha mengesan remaja berkenaan. – MalaysiaGazette
















